Drama ‘viral’ TV3, Ayahanda diangkat ke filem

Hebahkan !!!

 

KUALA LUMPUR: Selepas menerbitkan filem pertama, Seandainya Kau Ada, Zeel Production merancang mengangkat kisah benar nukilan Allahyarham Azizi Abdullah, Ayahanda yang disiarkan slot Lestary TV3, tahun lalu, ke layar perak.

Pernah merekodkan empat juta tontonan ketika episod akhir ditayangkan mengikut sumber Nielsen, naskhah garapan Datuk Ahmad Tarmimi Siregar itu bakal mengekalkan semua pelakon termasuk bintang utama, Jalil Hamid dan Fauziah Ahmad Daud.

Pemilik Zeel Production, Fadzil Teh, berkata sambutan baik penonton drama Ayahanda mencetus idea mengangkat kisah berkenaan ke layar perak.

“Kita sedang berusaha ‘pitching’ bagi mengangkat drama Ayahanda kepada filem. Insya-Allah, kalau semua dipermudahkan, kita mahu kekalkan pelakonnya.

“Versi filem mungkin masih mengambil sentuhan novel dan kita ubah ikut keperluan semasa,” katanya kepada BH Online.

Fadzil berkata, biarpun Ayahanda membawa tema berat, drama itu menjentik emosi penonton ketika disiarkan TV3.

“Di bawah arahan Ahmad Tarmimi dengan skrip dihasilkan Maizura Mohd Ederis dan Wan Mahani Wan Hassan, drama Ayahanda memaku penonton TV3.

“Episod akhir drama ini yang disiarkan pada 31 Julai lalu, meraih empat juta tontonan berdasarkan laporan sumber Nielsen,” katanya.

Fadzil berkata, sebagai permulaan, drama Ayahanda akan dihasilkan dalam format telefilem istimewa untuk siaran pada Syawal kelima di TV3.

“Format telefilem ini kita hasilkan selama dua jam. Lokasi penggambaran hanya dibuat dibuat di Selangor kerana kekangan masa dan masalah tarikh bercanggah dalam kalangan pelakon,” katanya yang memulakan ‘shooting’, semalam.

Bagi projek telefilem istimewa itu, Ayahada mengekalkan pelakon asal iaitu Fauziah, Jalil, Noorkhiriah, Fikry Ibrahim, Hairi Safwan, Shah Jaszle, Rita Nadira dan ramai lagi.

Sementara itu, Fadzil bersyukur drama Ayahanda tersenarai dalam pencalonan awal empat kategori pada Anugerah Telenovela 2022.

“Drama ini bersaing dalam pencalonan awal kategori Telenovela Popular dan Novel Popular. Malah, Fauziah dan Jalil berentap dalam kategori pelakon dan gandingan serasi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Fadzil berkata, syarikat produksinya sedang mencari bakat pelakon wanita baharu untuk membintangi drama muzikal, Angels yang bakal disiarkan TV3.

“Pencarian bakat wanita ini terbuka kepada semua bangsa, agama, saiz dan warna kulit. Bonus jika mereka boleh menari, menyanyi, bermain alat muzik dan aktif dalam media sosial.

“Syarat yang ditetapkan calon perlu berusia dari 18 hingga 26 tahun. Mereka tidak perlu mempunyai sejuta pengikut dalam media sosial kerana kita utamakan bakat baharu.

“Kepada yang hendak mencuba nasib boleh hantar klip video uji bakat dan butiran kepada castingangelztv3@gmail.com,” katanya.

Fadzil berkata, jika mendapat sambutan, Angels versi lelaki akan diterbitkan kemudian.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Leave a Reply