Guru tak patut buat ‘live’ ketika PdP, tumpu pada murid, tegas NUTP

Hebahkan !!!

PETALING JAYA: Membuat rakaman secara langsung di media sosial yang bersifat lebih kepada “mempopularkan diri sendiri” semasa bertugas tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang guru.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang berkata, ketika kelas secara fizikal adalah lebih baik guru memberi tumpuan sepenuhnya kepada murid yang berada di dalam kelas.

“Penggunaan media sosial khususnya membuat siaran langsung semasa waktu bertugas rasmi adalah sesuatu yang salah.

“Apatah lagi ianya lebih bersifat mempopularkan diri sendiri sedangkan pilihan yang lebih baik pada ketika itu ialah menumpukan sepenuh perhatian kepada murid yang ada di hadapan mata,” katanya ketika dihubungi FMT.

Beliau berkata Kementerian Pendidikan (KPM) telah mengeluarkan garis panduan mengenai nilai dan etika penggunaan media sosial untuk guru dan pelajar.

Garis panduan nilai dan etika melibatkan penggunaan media sosial oleh guru serta pelajar yang dikeluarkan oleh KPM pada Jun 2017 menggariskan 11 perkara yang dilarang guru semasa menggunakan media sosial.

Ini termasuk menggunakannya untuk tujuan peribadi pada waktu pejabat sama ada melalui peralatan komputer atau peranti mudah alih yang dibekalkan oleh pejabat dan peralatan peribadi.

Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Mohamad Ali Hasan berkata, tidak semua pelajar termasuk warga pendidik, ibubapa dan penjaga dapat menerima kaedah mengajar sambil bersiaran langsung di media sosial.

Beliau berkata, ada pelbagai kaedah pengajaran yang berkesan dan tidak mengganggu tumpuan pelajar, sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) harus dinikmati serta dihayati sepenuhnya.

“Membuat ‘TikTok’ dan lain-lain sepertinya tentunya ‘melarikan’ perhatian pelajar daripada menumpu kepada pembelajaran yang diikuti,” katanya.

Baru-baru ini, tular seorang pengguna Twitter @n_ahwal telah berkongsi keluhannya berhubung isu guru mengajar secara ‘live’ di media sosial sedangkan berada dalam kelas bersama murid-murid.

Perkongsian tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada warganet yang rata-ratanya kurang senang dengan tindakan guru terbabit.

“Nak buka lagu bagi murid dengar pun kadang serba salah dulu. Tak faham cikgu sekarang syok buat ‘live’ dengan budak-budak, dedahkan segala macam,” kata pengguna bernama @tennn9_

“Mata tak habis habis tengok telefon semasa cikgu ini mengajar. Siap respon dekat chat lagi. Dia 100% tak fokus dalam kelas,” kata @HafizLotfi.

Leave a Reply