Luqman Hakim mungkin dipinjamkan ke kelab lain

Hebahkan !!!

Kuala Lumpur: Bagi memastikan karier penyerang muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin tidak tenggelam, kelabnya di Belgium, KV Kortrijk dan ejennya sedia meminjamkannya ke pasukan lain, musim depan.

Menurut sumber dipercayai, perancangan untuk meminjamkan Luqman ke kelab lain sedang diusahakan dengan beberapa pilihan akan dibincangkan bersama pemain berusia 20 tahun itu, tidak lama lagi.

Antara opsyen sedang difikirkan kelab dan ejennya, Luqman kemungkinan akan beraksi di saingan divisyen dua Liga Belgium atau ditawarkan beraksi di Liga Perdana Bosnia bersama FK Sarajevo.

“Perancangan untuk Luqman dipinjamkan ke pasukan lain memang ada dan Luqman sendiri tahu mengenai perkara ini.

“Pihak KV Kortrijk dan ejen Luqman sedang berbincang mengenai hal ini. Tapi ia terpulang kepada Luqman untuk terima atau tidak.

“Pihak kelab cukup mengambil berat tentang perkembangan Luqman dan dia dia menunjukkan peningkatan sangat banyak bersama KV Kortrijk,” kata sumber itu kepada Arena Metro.

Menurutnya, Luqman bermain enam perlawanan bersama skuad B-21 KV Kortrijk dan menjaringkan dua gol, musim ini selain empat kali disenaraikan dalam skuad utama, namun tidak berpeluang bermain dan ia sebenarnya satu perkembangan baik untuknya.

“Namun hakikatnya bukan mudah untuk dia menembusi pasukan utama.

“Mungkin dengan bermain di divisyen kedua, peluang untuk Luqman beraksi dalam perlawanan lebih cerah selepas ini,” katanya.

Luqman yang pernah disenaraikan antara 60 pemain remaja terbaik dunia oleh media antarabangsa The Guardian pada 2019 menyertai KV Kortrijk tiga tahun lalu dengan menandatangani kontrak selama lima musim.

METRO

Leave a Reply