Itu video lama!-Polis

Hebahkan !!!

Kuala Lumpur: Polis, hari ini, menjelaskan video tular membabitkan sekumpulan penunggang basikal lajak yang menunggang secara berbahaya di Facebook ‘We are Malaysians’, semalam, adalah video lama.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, semakan oleh polis terhadap video berdurasi lapan saat itu mendapati kejadian sebenar adalah pada sekitar 2016.

“Hasil semakan juga mendapati kegiatan penunggang basikal lajak dalam video yang ditularkan itu berlaku di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.

“Dipercayai video tersebut sengaja ditularkan kembali menerusi media sosial oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak menularkan gambar serta video lama bagi mengelak kekeliruan dan menimbulkan kegusaran kepada masyarakat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sarifudin turut meminta orang ramai yang mempunyai pertanyaan atau maklumat berkaitan video tular supaya menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-2026 0267/69 atau balai polis berhampiran.

Semalam, tular sebuah video menerusi media sosial memaparkan aksi sekumpulan penunggang basikal lajak yang menunggang dalam keadaan berbahaya dan tindakan mereka mengundang pelbagai reaksi netizen.

METRO

Leave a Reply