Hans Isaac, Afdlin dan Altimet beradu nasib tanding pemilihan PKR

Hebahkan !!!

SHAH ALAM – Tiga artis terkenal tanah air turut beradu nasib untuk bertanding dalam Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi penggal 2022/2025 kali ini.

Difahamkan, antara yang menghantar borang pencalonan adalah aktor dan penerbit, Datuk Hans Isaac dan rakan baiknya, Datuk Afdlin Shauki yang juga pelakon dan pengarah serta penyanyi terkenal, Altimet.

Sumber terdekat daripada Hans mengesahkan, aktor itu telah menghantar borang pencalonan bagi merebut jawatan Ketua Cabang PKR Ampang.

“Saya mengesahkan Hans sudah menghantar borang pencalonan pada 8 April lalu. Bagaimanapun, buat masa ini, beliau belum bersedia memberikan kenyataan. Kita jangkakan satu sidang media atau kenyataan akan dibuat bagi mengulas perkara ini dalam masa terdekat.

“Tentang persaingan dengan Altimet, saya ‘no komen’. Kita tunggu dan lihat,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada 12 April.

Hans dan Altimet, dijangka akan bersaing bagi merebut jawatan Ketua Cabang PKR Ampang dan akan bertanding dalam saingan sembilan penjuru.

Sementara itu, Afdlin Shauki juga difahamkan akan turut bertanding bagi merebut jawatan Ketua Cabang Setiawangsa.

Hans menyertai PKR pada 2020 dan turut disebut-sebut akan bertanding mewakili parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), selepas penyandang kerusi itu yang juga Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin dipecat daripada parti.

Beliau juga mempunyai pasukannya yang dikenali ‘Kita Budak Ampang’ yang memberikan fokus kepada program sosial bagi membantu masyarakat dan menghargai segala sokongan serta bantuan yang dihulurkan.

Leave a Reply