Biden tuduh Russia lakukan pembunuhan beramai-ramai di Ukraine

Hebahkan !!!

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mendakwa terdapat bukti yang semakin meningkat bahawa pencerobohan Russia terhadap Ukraine sama dengan pembunuhan beramai-ramai.

Bagaimanapun, beliau berkata, ia bergantung kepada peguam untuk membuat penentuan muktamad berhubung perkara itu.

Biden sebelum itu turut membuat dakwaan yang sama ketika berucap di sebuah kilang di Iowa.

“Ya, saya memanggilnya pembunuhan beramai-ramai kerana ia menjadi lebih jelas dan lebih jelas bahawa Presiden Russia,Vladimir Putin hanya cuba menghapuskan idea untuk menjadi warga Ukraine dan bukti semakinnya meningkat,” kata Biden kepada pemberita sebelum menaiki pesawat Air Force One di Iowa.

Beliau juga berkata, pihaknya akan membiarkan peguam di peringkat antarabangsa untuk memutuskan sama ada layak atau tidak tindakan pencerobohan Russia itu dianggap sebagai jenayah perang.

Biden sebelum ini berulang kali menggelar Putin sebagai penjenayah perang, tetapi tidak mengisytiharkan bahawa Russia melakukan pembunuhan beramai-ramai di Ukraine.

“Belanjawan keluarga anda, keupayaan anda untuk mengisi tangki kenderaan, tiada satu pun daripadanya harus bergantung kepada seorang diktator mengisytiharkan perang dan melakukan pembunuhan beramai-ramai,” kata Biden pada satu acara di Iowa mengenai harga bahan api dan merujuk kepada peningkatan harga bahan api sebagai “kenaikan harga Putin.”

Di bawah undang-undang antarabangsa, pembunuhan beramai-ramai ialah niat untuk memusnahkan – secara keseluruhan atau sebahagian – kumpulan kebangsaan, etnik, kaum atau agama.

Menurut konvensyen PBB, ia termasuk melalui pembunuhan; kecederaan fizikal atau mental yang serius; mengenakan keadaan maut dan langkah-langkah untuk mencegah kelahiran, antara cara lain.

Pembunuhan beramai-ramai dianggap sebagai kesalahan antarabangsa yang paling serius, kali pertama digunakan untuk menggambarkan Holocaust Nazi. – REUTERS

© New Straits Times Press (M) Bhd

Leave a Reply