Lelaki sempat peluk dan cium isteri sebelum ghaib menghilangkan diri

Hebahkan !!!

GURUN – “Suami sempat peluk, cium dan memuji kecantikan saya sebelum dia ‘ghaib’ tanpa sebarang berita,” kata wanita yang hanya mahu dikenali DJ Sal, 47, isteri kepada DJ Wong atau nama sebenar Noor Aziz Johari, 53, yang dilaporkan hilang sejak Rabu lalu.

Pasangan terbabit aktif bersiaran secara dalam talian di Facebook (FB) “DJ Wong And Sal Bollywood” yang kini mempunyai hampir 100,000 pengikut.

Menurutnya, pada hari kejadian mereka sedang bersiap untuk bersiaran secara langsung di FB pada 10 malam sebelum dia dipeluk suami, dicium tiga kali serta dipuji cantik.

“Ketika itu, saya tidak terfikir apa-apa kerana suami memang kerap berbuat demikian dan selepas itu saya memintanya pergi bersiap dalam bilik.

“Bagaimanapun, saya selepas itu menyedari yang suami tidak masuk bersiap dalam bilik sebaliknya dia terus menghilangkan diri,” katanya yang ditemui di rumahnya di Taman Ria Mesra 2, hari ini.

Katanya, apabila menyedari suami tiada dalam bilik, dia cuba mencari dalam sekeliling rumah namun gagal menemui DJ Wong.

“Ketika itu hujan lebat dan saya cuba menghubungi suami namun telefon bimbitnya dimatikan. Bimbang dengan situasi itu, saya bergegas ke rumah keluarga suami di Kampung Bukit Lada, Pokok Sena namun masih gagal mengesannya,” katanya yang masih bingung dengan kejadian itu.

Menurutnya, tiada sebarang perselisihan faham berlaku antara mereka yang boleh dikaitkan dengan misteri kehilangan suaminya itu yang dilihat keluar dengan memakai kemeja dan jeans biru.

“Saya hanya perasan suami kelihatan agak murung sejak kebelakangan ini dan tidak ceria berbanding sebelumnya namun tidak tahu apa masalah difikirkannya.

“Suami hanya membawa telefon bimbit serta kad pengenalan dan saya sudah membuat laporan polis berhubung kehilangannya itu,” katanya yang berharap suami ditemui dalam keadaan selamat.

Katanya, dia sudah meminta bantuan saudara serta kenalan untuk mengesan dan memberi maklumat sekiranya terjumpa suaminya itu.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau terlihat DJ Wong boleh menghubungi DJ Sal di talian 0135783727 atau 0134194818.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Anuar Abdul Rahman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu. – ©Harian Metro

Leave a Reply