Lebih ramai orang bukan Melayu perlu sertai angkatan tentera

Hebahkan !!!

Kementerian Pertahanan perlu menubuhkan pasukan petugas untuk mendapatkan lebih ramai orang bukan Melayu menyertai angkatan tentera, kata penganalisis pertahanan.

Bekas felo di Pusat Kajian bagi Kemajuan Sosial (Refsa) Lam Choong Wah, berkata punca di sebalik kekurangan anggota bukan Melayu dalam angkatan tentera sudah pun diketahui namun ia memerlukan penyelesaian.

Katanya, kurangnya peluang kenaikan pangkat adalah isu utama dan merupakan masalah institusi.

Dalam jangka masa yang panjang, Lam berkata panel yang diketuai oleh ketua setiausaha Kementerian Pertahanan perlu dibentuk untuk membetulkan isu sistemik dan merangka pelan tindakan untuk melaksanakan tindakan itu.

Katanya, masalah “sudah dikenal pasti oleh pegawai tertinggi” dalam tentera.

Menurut jawapan di Parlimen pada 2009, Cina dan India masing-masing menyumbang 0.3% dan 0.9% daripada kakitangan aktif dalam angkatan tentera.

Lebih 13 tahun kemudian, tidak banyak yang berubah, kata Lam yang menulis buku “Are We Protected? Malaysian Defence Uncovered” yang menyentuh isu itu dan persepsi berat sebelah dalam kenaikan pangkat anggota tentera bukan Melayu.

Katanya, tindakan perlu diambil dan bukannya “menyembunyikan masalah yang telah pun diketahui”.

Dakwaan berlakunya diskriminasi dalam angkatan tentera turut dibangkitkan oleh bekas diplomat Dennis Ignatius dalam buku terbaharunya, “Paradise Lost: Mahathir & The End of Hope”.

Katanya, terdapat diskriminasi dalam kenaikan pangkat dan penugasan sejak lewat 1970an.

Bagaimanapun, bekas Panglima 1 Divisyen, Mejar Jeneral Toh Choon Siang menolak dakwaan berlakunya diskriminasi sistematik.

Beliau berkata ia adalah “mitos semata-mata bahawa orang bukan Melayu tidak berminat untuk menyertai angkatan tentera kerana prospek kenaikan pangkat adalah terhad untuk mereka.”

Presiden Patriot, Brigadier Jeneral (Rtd) Mohamed Arshad Raji berkata beliau tidak pasti mengapa tidak ramai orang bukan Melayu menyertai angkatan tentera.

“Ketika saya menyertainya pada 1965, lebih 30% (yang direkrut) adalah bukan Melayu, dan kini kita tidak melihat perkara itu,” katanya.

Beliau mencadangkan agar angkatan tentera mendapatkan lebih ramai pegawai kanan dan veteran bukan Melayu menyertai pasukan merekrut. – ©Free Malaysia Today

Leave a Reply