Seorang pemandu teksi didakwa memperdagang lelaki tujuan minta sedekah

Hebahkan !!!

SEREMBAN – Seorang pemandu teksi wanita didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas pertuduhan pemerdagangan seorang lelaki bagi maksud eksploitasi untuk meminta sedekah di tempat awam, tahun lalu.

Tertuduh, Nurul Hidayah Md Nor, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.

Berdasarkan pertuduhan, Nurul Hidayah didakwa memperdagangkan seorang lelaki berusia 27 tahun yang bukan merupakan seorang kanak-kanak bagi maksud eksploitasi yang menyalahi undang-undang iaitu Seksyen 27(c) Akta Kesalahan Kecil 1955.

Tertuduh didakwa telah menyuruh lelaki itu meminta sedekah di tempat awam sedangkan beliau mampu mempunyai mata pencarian yang lain.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sekitar Seremban dan Senawang antara bulan Mei 2021 hingga 7 November 2021.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Aling.

Sementara itu, tertuduh yang diwakili peguam M Haresh dalam rayuannya memohon wang jaminan dikurangkan berikutan dia menanggung ayahnya yang sedang sakit selain mempunyai pendapatan antara RM1,500 hingga RM2,000 sebulan sahaja.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan syarat tambahan tidak mengganggu mangsa serta melapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran sehingga kes selesai selain menetapkan 24 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Leave a Reply