KUALA LUMPUR: Penyanyi rap, Waris tular apabila video memperlihatkan dirinya menyanyi lagu Rembau Most Wanted Part II dalam sebuah majlis agama, sekali gus mencetuskan perasaan kurang senang dalam kalangan netizen.

Ada beranggapan genre lagu dinyanyikannya tidak sesuai disajikan dalam majlis agama, malah kelihatan reaksi pelik mereka yang menonton persembahan dalam video berdurasi 16 saat itu.

Video persembahan itu pernah dimuat naik di akaun Instagram (IG) miliknya pada 14 November tahun lalu berserta kapsyen persembahan di Masjid Ibnu Khaldun (Negeri Sembilan) bersempena Maulud Nabi.

Bagaimanapun, Waris atau nama sebenarnya, Muzzammil Alias memilih untuk tidak menjawab kepada media seperti yang dimuat naik di IG.

“Saya tidak ambil sebarang temu bual dengan mana-mana media supaya tidak berpanjangan isu ini. Kini sudah masuk bulan Ramadan.

“Kita nak fokus beramal bukan? Tak mahu tambah dosa lagi. Semoga Ramadan kali ini lebih baik daripada sebelumnya.

“Ampun maaf daripada saya sekeluarga. Kosong-kosong kepada semua ya,” katanya.

Waris turut menitipkan pesan kepada netizen supaya tidak cepat melatah dan ‘koyak’.

“Apa-apa jangan cepat koyak kalau dengar isu yang mendatangkan kemarahan pada bulan puasa.

“Saya sudah dapat hidu ada individu akan gunakan kita waktu ‘kelaparan’ nanti. Jangan biarkan diri kita diperalatkan oleh individu tidak bertanggungjawab,” katanya.

Malah, menerusi perkongsiannya seolah-olah diri menjadi mangsa permainan pihak tertentu.

Beliau berkata, individu yang berkongsi video itu sengaja menjadikan dirinya sebagai bahan mencetuskan perbalahan demi meraih perhatian.

“Perang raih undi sudah mula. Yang muat naik video saya menyanyi dekat masjid pun geng-geng ‘mungkir janji’.

“Ia video lama yang dipotong dari IGTV. Tahun lalu, mereka cuba tetapi tak menjadi. Tahun ini, dimuat naik video sama lagi dan berjaya viral.

“Tujuan? Nak buat orang marah. Saya hanya bahan saja. Hati-hati… semua negeri turap jalan bersebab. Kalian pun tahu kan? Takkan tak faham ‘permainan’.

“Berhati-hati dengan apa yang anda dengar. Salam dan sayang diri sendiri,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd