Pelajar UPSI dari Sabah terpaksa memandu sejauh 130km untuk cari talian internet

Hebahkan !!!

Seorang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berdepan kesukaran mengikuti Pembelajaran Jarak Jauh (ODL) selepas menara telekomunikasi di Daerah Telupid, Sabah rosak akibat terbakar.

Anis Arina Aqilah Roslee, 23 yang kini berada di semester enam Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Sosial berkata sejak kejadian itu, beliau terpaksa memandu keluar dari kampungnya bagi mencari talian telekomunikasi dan internet.

Malah katanya, beliau pernah memandu sejauh 130km bagi mendapatkan rangkaian kerana perlu mengikuti kelas secara atas talian.

“Kami perlu bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain, dari satu kampung ke kampung yang lain untuk cari line internet.

“Pernah memandu sejauh 130km ke Pekan Sandakan untuk cari talian kerana kebetulan keluarga saya ada temujanji di hospital dan saya pula perlu siapkan semua kerja dekat tempat yang ada talian.

“Jadinya sekarang ini, setiap hari saya travel 10 hingga 15km dari Jalan Tawai hingga Entilibon untuk cari talian internet,” kongsinya kepada FMT.

Semalam, video yang dimuat naik Anis tular di media sosial selepas berkongsi caranya mengikuti kuliah secara ODL. Anak sulung dari tiga beradik itu dilihat duduk di dalam bonet kereta bagi mendapatkan rangkaian terbaik.

Menerusi perkongsian Anis itu, turut dilihat pensyarahnya bertanyakan khabar dan menasihatinya supaya tidak patah semangat walaupun berdepan halangan dalam menuntut ilmu.

Mengulas perkara itu, terharu kerana pensyarahya amat memahami situasi yang hadapi serta meminta beliau mengutamakan keselamatan diri.

“Pensyarah cakap kalau tak dapat masuk kelas jangan paksa, utamakan nyawa dulu, dan mereka bantu dari segi bagi nota sebab mereka tahu saya tak boleh akses laman web,” katanya.

Menurut Anis, penduduk kampung telah membuat aduan kepada pihak berwajib bagaimanapun mereka difahamkan bahan mentah menara pencawang itu perlu dibawa dari semenanjung.

“Tetapi pihak MCMC dan telco yang lain ada ambil inisiatif menghantar van sejak semalam dimana van itu memancarkan satelit untuk membuat rangkaian talian di Pekan Telupid, namun belum dapat dipastikan telco yang mana kerana belum ada talian,” katanya.

Beliau turut berharap akan ada penambahbaikan dari segi jaringan telekomunikasi di kawasan tersebut selepas ini.

“Saya harap video yang saya kongsikan itu beri manfaat kepada daerah saya. Mana tahu ada penambahbaikan dari segi internet yang akan memanfaatkan lebih kurang 30000 penduduk sini,” katanya. – ©FreeMalaysiaToday

Leave a Reply