Ganti presiden Bersatu? Muhyiddin lebih popular daripada Najib, bekas pegawai jawab penganalisis

Hebahkan !!!

Marzuki Mohamad (kiri) memetik satu kaji selidik pendapat umum pengundi negeri Johor yang mendapati Muhyiddin Yassin adalah pemimpin paling popular di negeri itu.© Provided by Free Malaysia Today Marzuki Mohamad (kiri) memetik satu kaji selidik pendapat umum pengundi negeri Johor yang mendapati Muhyiddin Yassin adalah pemimpin paling popular di negeri itu.

PETALING JAYA: Bekas ketua setiausaha sulit kepada Muhyiddin Yassin mempersoalkan keperluan menukar presiden Bersatu itu kerana beliau didapati lebih popular berbanding bekas perdana menteri, Najib Razak.

Marzuki Mohamad berkata, kenyataan penganalisis politik, Azmi Hassan mengenai keperluan seseorang untuk mengambil alih kepimpinan daripada Muhyiddin dilihat sangat gopoh dan pramatang.

“Sebuah kaji selidik tinjauan pendapat umum pengundi Johor mendapati Muhyiddin adalah pemimpin paling popular di negeri Johor dengan ‘approval rating’ sebanyak 52% berbanding Najib Razak (39%), Dr Mahathir (35%), Lim Guan Eng (24%) dan Ahmad Zahid Hamidi (14%),” katanya di Facebook.

Semalam, Azmi menyifatkan Bersatu berada dalam situasi “sangat terdesak” dan memerlukan seseorang untuk mengambil alih kepimpinan daripada Muhyiddin.

Azmi daripada Akademi Nusantara berkata, prospek Bersatu, malah Perikatan Nasional (PN), kelihatan suram terutama selepas kegagalan percubaan untuk menjalin beberapa bentuk kerjasama dengan Pejuang dan Pakatan Harapan (PH).

Dalam pada itu Marzuki berkata, jika kekalahan pertama PN dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor dijadikan sebab mengapa Muhyiddin perlu berundur, maka ramai presiden parti lain yang mesti berundur juga.

Beliau berkata, dalam PRN Johor, PN adalah satu-satunya parti yang mencatat peningkatan sokongan pengundi Melayu berbanding BN dan PH.

“Jika undi PAS dalam PRU 2018 dijadikan undi asas PN, sokongan pengundi Melayu Johor kepada PN meningkat daripada 18.1% dalam PRU 2018 kepada 34.5% dalam PRN 2022.

“Sebaliknya sokongan pengundi Melayu kepada BN merosot daripada 58.8% dalam PRU 2018 kepada 51.1% dalam PRN 2022. Data menunjukkan berlaku peralihan hampir 8 mata peratus sokongan pengundi Melayu BN kepada PN,” katanya.

Beliau juga berkata, sokongan pengundi Melayu kepada PH juga merosot dengan ketara, iaitu daripada 28.3% dalam PRU 2018 kepada 11.3% dalam PRN 2022.

“Sebanyak 17 mata peratus sokongan Melayu PH telah beralih kepada PN.

“Bukankah ini suatu pencapaian kepada PN, iaitu sebuah parti baharu di bawah kepimpinan Muhyiddin,” katanya.

Leave a Reply