Sedap buka puasa dengan Gulai lemak siput

Hebahkan !!!

PASIR PUTEH – Gulai lemak siput bersama daun kaduk merupakan salah satu hidangan tradisional dalam kalangan masyarakat di negeri ini yang mampu menjadi pembuka selera ketika berbuka puasa sepanjang Ramadan.

Lebih unik lagi hidangan ini perlu dinikmati dengan cara menyedut isinya dan jika salah teknik ianya tidak akan keluar.

Hidangan yang enak dijamah bersama ulam-ulaman dan nasi panas mampu membuatkan penggemar masakan itu terpaksa menahan ‘asakan’ nafsu sementara menunggu masuknya waktu berbuka puasa.

Penolong Pengurus Pemasaran Tok Aman Bali Resort (TABR), Wan Zulhilme Wan Zahid berkata, hidangan yang ditawarkan menggunakan siput segar bagi memastikan keenakan rasa hidangan itu dapat dinikmati sebaik mungkin oleh para penggemarnya.

“Kita gunakan dua jenis siput iaitu belitung dan sedut yang diperoleh secara segar dari penduduk setempat. Selain bahan-bahan lain dalam masakan ini juga kita gunakan yang segar bagi memastikan kualitinya terjamin,” katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.

© Provided by Sinar Harian

Menurutnya, hidangan itu ditawarkan dua kali seminggu memandangkan bekalan siput yang segar agak sukar untuk diperolehi.

Katanya, selain itu makanan tradisional Kelantan iaitu gulai lemak ikan haruan bersama daun kadok turut terdapat di premis berkenaan.

“Kita menawarkan kelainan kerana menyuburkan lagi makanan tradisional ini. Ia secara tidak langsung dapat mengembalikan semula nostalgia lama.

“Hal ini kerana hidangan ini cukup unik dan wajar dicuba khususnya oleh generasi muda,” katanya.

Wan Zulhilme berkata, selain itu, hidangan lain seperti ikan bakar, kambing bakar, gulai kawah dan beraneka lauk-pauk serta kuih-muih turut ditawarkan kepada para pengunjung di bufet Ramadan TABR.

“Pakej ini bermula RM69 untuk dewasa dan RM35 bagi kanak-kanak,” katanya.

Leave a Reply