Polis siasat dakwaan wanita dipukul bekas teman lelaki

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR – Polis sudah menerima laporan daripada seorang wanita yang mendakwa dipukul oleh bekas teman lelakinya di Putrajaya pada 27 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, dalam kejadian itu, mangsa mendakwa berlaku pertengkaran dan pergelutan di antara mereka.

“Punca pertengkaran apabila wanita berkenaan tidak dapat menerima teman lelakinya yang sudah berkahwin mahu kembali bersama keluarga,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

A Asmadi berkata, pihaknya terkesan satu ‘posting’ yang dimuat naik oleh seorang pemilik akaun Instagram pada Rabu berkaitan dakwaan polis tidak mengambil tindakan berkaitan kes pukul wanita itu.

“Kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mendatangkan cedera.

“Siasatan lanjut masih diteruskan dengan mengambil keterangan saksi dan kita sedang mendapatkan laporan perubatan untuk melengkapkan siasatan,” katanya.

A Asmadi turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan

“Sekiranya mereka mempunyai sebarang maklumat, boleh menghubungi Hotline Polis Putrajaya di talian 03-8886 2145, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya.

Leave a Reply