Karim Benzema tetap berbisa jaringkan hat-trick walaupun berpuasa

Hebahkan !!!

Penyerang berbisa Real Madrid, Karim Benzema berjaya mencuri tumpuan apabila tetap memberikan aksi yang terbaik ketika menentang Chelsea walaupun sedang berpuasa.

Memetik laporan TBS News, Benzema, 34, berbuka puasa kira-kira 15 minit sebelum perlawanan Suku Akhir Liga Juara-Juara Eropah yang berlangsung awal pagi tadi itu bermula.

Tanpa berlengah, pemain yang berasal dari Perancis itu terus menjaringkan tiga gol berturut-turut hanya dalam tempoh masa 46 minit.

Jaringan hat-trick yang dilakukan olehnya itu memastikan kemenangan mutlak kepada pasukan Real Madrid dalam perlawanan yang berlangsung di padang pihak lawan, Stamford Bridge.

Dengan kemenangan tersebut, Benzema telah menjadi pemain pertama dari Perancis yang menjaringkan lebih 10 gol dalam kempen Liga Juara-Juara.

Pada musim kali ini, dia telah menjaringkan 11 gol dalam hanya lapan perlawanan.

Secara keseluruhannya, hat-trick tersebut telah menjadikan jumlah gol Benzema dari tahun 2021 hingga 2022 adalah sebanyak 37 gol dengan hanya 36 penampilan dalam kesemua pertandingan.

Sementara itu, Benzema baru-baru ini mengatakan bahawa berpuasa pada bulan Ramadan tidak menjejaskan tahap kecergasannya.

Sebaliknya dia menganggap bahawa puasa menjadikannya lebih kuat.

“Tiada apa-apa kesan yang buruk, Ramadan adalah sebahagian daripada hidup saya dan agama saya juga mewajibkan berpuasa.

“Bagi saya, ia sangat penting dan saya berasa sihat apabila berpuasa,” katanya ketika ditemu bual oleh Esquire.

Tambahnya lagi, dia bersyukur kerana berada dalam keadaan yang sihat.

Dalam perlawanan yang berlangsung awal pagi tadi, Benzema berada dalam prestasi yang terbaik dan bagaikan mempunyai ‘kuasa’ selepas berbuka puasa.

Pemain itu menyempurnakan tandukan sensasi pada minit ke-21 sebelum menewaskan Edouard Mendy dengan satu lagi gol beberapa saat kemudian.

Pasukannya juga telah melakukan yang terbaik untuk menundukkan tekanan berterusan dari The Blues.

Kemenangan itu menjadi pemangkin untuk mereka lebih yakin dan bersemangat untuk mendahului perlawanan kedua di Bernabeu dalam masa dua minggu lagi kerana peluang untuk mara ke separuh akhir kejuaraan itu sangat cerah. – ©Siakap Keli

Leave a Reply