Petronas Dinobatkan Tempat Terbaik Untuk Bekerja Di Malaysia

Hebahkan !!!

PETRONAS sekali lagi berada di tempat teratas dalam senarai Syarikat Terbaik LinkedIn 2022 di Malaysia, yang menampilkan 15 tempat kerja terbaik untuk kakitangan mengembangkan kerjaya, kali kedua berturut-turut syarikat minyak dan gas negara bersepadu sepenuhnya itu mengungguli senarai berkenaan.

Ini diikuti oleh Maybank, Bosch, Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan B. Braun Group.

Dalam kenyataannya, LinkedIn berkata, PETRONAS komited untuk meningkatkan kemahiran pekerjanya supaya dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran perniagaan yang berubah dengan cepat.

Katanya, daripada tujuh syarikat tempatan yang disenaraikan pada 2022, tiga adalah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan satu syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

Ia terdiri daripada PETRONAS, Maybank, PNB dan Tenaga Nasional Bhd (TNB) di kedudukan ke-11.

“Entiti kerajaan adalah antara majikan terbesar di negara ini dan terus mengambil pekerja dari peringkat permulaan hingga ke jawatan kanan, selain menawarkan peluang latihan dan program pelatih,” katanya.

Menawarkan senario kerja yang fleksibel, Maybank memperkenalkan persekitaran kerja hibrid yang membolehkan pekerja mempunyai akses ke ‘hot-desking’ dan bilik mesyuarat, manakala PNB memulakan aturan kerja fleksibel yang baharu, membolehkan 1,750 pekerja bekerja dari rumah semasa pandemik.

Katanya, melalui inisiatif global 4Diversity, B. Braun Group memberi tumpuan kepada meningkatkan kesedaran dan peluang untuk kemajuan kerjaya yang sama rata.

Syarikat itu melaburkan sumber untuk menambah jumlah pengurus wanita untuk mencerminkan mempunyai wakil yang sama di semua peringkat pengurusan.

Sementara itu, Bosch mempunyai reputasi untuk persekitaran kerja yang seimbang dengan mengamalkan kepelbagaian dan keterangkuman.

“Dalam pada kita terus menghadapi realiti yang mencabar di dunia hari ini, pembabitan dan sokongan pekerja kini lebih penting berbanding sebelum ini.

“Senarai Syarikat Terbaik LinkedIn meraikan syarikat yang melabur dalam pertumbuhan dan kesejahteraan sumber yang paling penting di tempat kerja – pekerja.

“Dengan program dan inisiatif yang khusus untuk menyokong perkembangan kerjaya dan keperluan yang semakin meningkat untuk keseimbangan kerja-kehidupan, syarikat-syarikat ini menerajui tanggungjawab untuk kejayaan jangka panjang dalam tenaga kerja,” kata Editor Pengurusan Kanan LinkedIn News, Satoshi Ebitani. – ©Berita Harian

Leave a Reply