Lagu rakyat semakin terpinggir hari ke hari

Hebahkan !!!

Peralihan zaman dan kemunculan pelbagai genre muzik yang lebih popular secara perlahan-lahan menyingkirkan lagu tradisional rakyat yang suatu ketika dulu cukup dekat di hati masyarakat.

Jika dahulu lagu rakyat menjadi pilihan dinyanyikan semasa bermain, mendodoikan anak, majlis keraian dan hiburan selepas penat membanting tulang, tetapi budaya itu kian lupus.

Kebimbangan terhadap situasi itu turut dizahirkan penyanyi tersohor, Datuk Zainal Abidin yang dilihat antara penyanyi yang cukup berbangga mendendangkan lagu berkonsep rakyat.

Berkongsi pandangannya, Zainal berkata, perkara sebegini sebenarnya perlu campur tangan pihak tertentu dalam usaha untuk memartabatkan lagu rakyat daripada terus pupus di telan zaman.

“Jika tiada pemantauan dibuat oleh pihak yang bertanggungjawab terutama dari segi penulisan lirik, tidak mustahil lagu rakyat akan terkubur suatu hari nanti.

“Selain pemantauan, lagu rakyat perlu diuar-uarkan atau dipopularkan kembali. Sekarang ini, anak-anak yang dihantar ke sekolah pendidikan awal lebih mengetahui lagu Ba Ba Black Sheep atau Twinkle Twinkle Little Star.

“Jika ia dibiarkan akan melahirkan generasi yang semakin hilang jati diri. Tidak salah belajar bahasa Inggeris, tetapi pada masa sama, perlu seimbang,” tegas Zainal ketika ditemui BH Online selepas menjayakan Konsert Lagu Rakyat yang diadakan di Panggung Sari, Istana Budaya, baru-baru ini.

Pada konsert yang berlangsung selama 90 minit itu, penyanyi lagu Hijau itu mendendangkan lagu lama yang diberi nafas baharu, Oh Bulan dan Suriram serta dua lagu popular, Manis dan Orak Arek.

Pendapat Zainal mengenai lagu rakyat perlu dipopularkan semula turut dipersetujui penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang pernah menghasilkan album Legasi, tahun lalu.

Siti berkata, lagu rakyat akan terus harum dan subur jika ada pihak yang mempunyai pengaruh mengambil inisiatif untuk merakamkan semula lagu rakyat dengan menyuntik elemen lebih segar untuk disesuaikan dengan peredaran masa.

“Walaupun ada perubahan dari segi susunan muzik apabila menggabungkannya dengan unsur moden, tetapi saya masih mengekalkan keaslian melodi yang menjadi kekuatan lagu.

“Selain tanda ingatan untuk anak-anak, album Legasi diterbitkan untuk menjadikan lagu rakyat malar segar dan terus didendangkan daripada zaman ke zaman.

“Namun untuk memastikan lagu rakyat mendapat perhatian, ia perlu dinyanyikan oleh seorang penyanyi yang mempunyai nama dan berpengaruh,” ujar penyanyi Aku Bidadari Syurgamu ini.

Album Legasi dirakamkan ketika hamil anak keduanya, Muhammad Afwa memuatkan lagu rakyat popular seperti Burung Kakak Tua, Buai Laju-Laju, Tepuk Amai-Amai, Air pasang Dalam dan Lagu Tiga Kupang.

Tambah penyanyi bervokal mantap ini, dia teruja apabila pembikinan album mendapat perhatian terutama golongan ibu moden.

“Impian saya hanya mahu melihat golongan ibu yang sebaya dengan saya menjadikan album ini sebagai hiburan untuk anak-anak.

“Mungkin hari ini mereka memperdengarkan lagu ini kepada anak-anak. Dan tidak mustahil, anak-anak pula putarkan album ini untuk hiburan cucu. Dengan cara ini, jangka hayat lagu rakyat akan berpanjangan,” ujarnya.

Sementara itu, pelopor lagu rakyat, Roslan Madun, 70, tidak melihat usaha memodenkan lagu rakyat demi survival sebagai satu kesalahan.

“Sebagai pengamal lagu rakyat sejak empat dekad lalu, saya bersikap terbuka dan terima apa sahaja perubahan dilakukan terhadap lagu rakyat.

“Walaupun dalam hati bertegas melihat lagu rakyat yang asli, tetapi demi untuk melihat lagu rakyat terus bernafas dan mendapat tempat, saya akur dengan situasi ini.

“Lagipun muzik sentiasa melalui proses evolusi dan saya menaruh harapan melodi lagu rakyat akan kembali seperti asal,” ujar Roslan optimis.

Mengakui peranan lagu rakyat bukan sekadar menghiburkan, penyanyi yang popular dengan lagu Lemak Manis itu turut menyarankan agar karya diperkembangkan untuk menjadi satu alat pendidikan.

“Sebenarnya, apa yang disalurkan dalam lagu rakyat ada banyak mesej pendidikan. Dalam nazam ada ilmu Fiqh, dalam gurindam terselit ilmu Tauhid, manakala syair pula ada ilmu Fardu Ain.

“Saya pernah didatangi satu pihak yang mahu menaja sebuah projek untuk memperhebatkan lagu rakyat. Apabila saya usulkan lagu rakyat dimasukkan dalam cabang pendidikan dan bukan seni semata-mata, mereka menolak cadangan ini.

“Jika pihak yang bertanggungjawab sendiri tidak memahami inti pati lagu rakyat, bagaimana lagu seperti ini dapat meneruskan survival pada era digital,” soalnya. – ©Berita Harian

Leave a Reply