Kutip RM2,700 setiap PATI, suami isteri disyaki seludup warga asing dicekup

Hebahkan !!!

PETALING JAYA: Sepasang suami isteri warga tempatan ditahan selepas disyaki menjadi dalang kegiatan penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI), sejak tiga bulan lalu.

Suami isteri berusia 47 dan 38 tahun itu dilaporkan mengenakan bayaran RM2,700 bagi setiap seorang PATI yang ingin memasuki negara ini secara haram.

Bagaimanapun, kegiatan mereka terbongkar selepas ditahan bersama 10 PATI warga Indonesia di tepi Jalan Tebing Kiri Sungai Sanglang, Pontian, Johor, 7.30 pagi, hari ini.

Pegawai Pemerintah Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Dimin Awang, berkata pihaknya turut merampas dua telefon bimbit pelbagai jenama dan sebuah Perodua Alza dengan keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM27,000.

“Sepasukan polis Batalion 5 PGA bersama pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menahan suami isteri terbabit kerana dipercayai menjadi ‘transporter’.

“Seramai 10 lelaki warga asing berusia antara 17 hingga 57 tahun ditahan ketika bersesak dalam Perodua Alza di tepi Jalan Tebing Kiri Sungai Sanglang,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Katanya, tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian untuk tindakan lanjut.

“Siasatan awal mendapati lelaki berkenaan bertindak sebagai ‘transporter’ dan isterinya menjadi pembantunya,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 26(a) Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM 2007) dan Seksyen 6(1 )(c) Akta Imigresen.

Leave a Reply