Guru maut kemalangan dengan kenderaan pacuan empat roda KKM

Hebahkan !!!

KINABATANGAN – Guru wanita meninggal dunia selepas kereta dipandunya dirempuh pacuan empat roda milik Kementerian Kesihatan (KKM) yang hilang kawalan ketika cuba memotong kenderaan di hadapannya.

Kejadian berlaku di Kilometer 98 Jalan Sandakan – Lahad Datu dekat Kampung Perpaduan, di sini pada 3 petang hari ini.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan Dzulbaharin Ismail berkata, guru itu dikenali Nurul Izzah Fatinah Ismail, 31, memandu Perodua Kenari dan dalam perjalanan dari Lahad Datu menghala sandakan.

Katanya, kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan Toyota Fortuner dipandu lelaki berusia 53 tahun masuk ke laluan mangsa untuk memotong kenderaan lain di hadapannya.

“Bagaimanapun, sebaik memotong ia bertembung dengan kereta mangsa dan kedua-dua kenderaan terhumban ke dalam semak di kiri jalan.

“Mangsa mengalami cedera parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan di lokasi dan mayatnya dibawa ke Hospital Kinabatangan untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya lagi, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamaluddin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian pada 3.07 petang dan lima anggota dengan sebuah jentera segera ke lokasi.

Katanya, seorang wanita didapati tersepit dalam keretanya dan dikeluarkan anggota sebelum diserahkan kepada petugas kesihatan.

“Mangsa disahkan meninggal dunia, manakala pemandu pacuan empat roda cedera ringan,” katanya yang memberitahu operasi ditamatkan pada 5.01 petang. – @Harian Metro

Leave a Reply