Anggota tentera maut ditikam isteri ketika bergaduh

Hebahkan !!!

KOTA SAMARAHAN: Seorang anggota tentera maut dipercayai ditikam isterinya menggunakan pisau pemotong sayur ketika bergaduh di kediaman mereka di Kem Penrissen, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, mangsa, 28, dikatakan mengalami pendarahan teruk selepas pahanya tertikam pisau digunakan isterinya itu untuk menggertak ketika bergaduh.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Deputi Superintendan Sudirman Kram berkata, kes dikesan selepas Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan menerima maklumat daripada Hospital Umum Sarawak (HUS) berkaitan seorang lelaki yang dibawa ke hospital untuk rawatan akibat cedera pada paha akibat tikaman pisau.

Beliau berkata, hasil siasatan awal pihaknya mendapati pisau pemotong sayur digunakan oleh wanita berusia 24 tahun itu untuk menggertak suaminya tertikam pada bahagian paha mangsa menyebabkan berlaku pendarahan yang banyak.

“Mangsa dikejarkan ke HUS untuk mendapatkan rawatan dan disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan HUS,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Sudirman, pasangan berkenaan mempunyai seorang anak.

Susulan itu, katanya isteri mangsa yang juga suri rumah kemudian ditahan di HUS kira-kira jam 2.24 pagi dan polis turut merampas sebilah pisau pemotong sayur dan pakaian digunakan suspek semasa kejadian.

“Suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Kota Samarahan untuk proses permohonan reman dan siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Leave a Reply