Siapa dalam Umno mahu kerjasama selepas pertemuan Muhyiddin-Dr M, soal Zahid

Hebahkan !!!

PETALING JAYA: Ahli Umno diseru menilai semula kerjasama dengan Muhyiddin Yassin selepas pertemuan presiden Bersatu itu dengan Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini, kata Ahmad Zahid Hamidi susulan dakwaan bahawa beliau mahu bekerjasama dengan seteru Umno untuk kembali menjadi perdana menteri.

Zahid berkata, walaupun Umno tidak sempurna, tetapi parti itu tidak terdesak untuk menjual prinsip untuk kembali berkuasa.

“Mahukah kita terus bekerjasama dengan parti sedemikian?

“Umno ini tidak sempurna. Tetapi kita tidaklah terdesak, menjual prinsip dan sanggup melakukan apa sahaja semata-mata mahu menebus malu dan menggenggam kuasa,” katanya di Facebook.

Jumaat lalu, Dr Mahathir Mohamad yang juga pengerusi Pejuang berkata, Muhyiddin menemuinya meminta bantuan bagi mendapatkan semula jawatan perdana menteri.

Selain Mahathir, Presiden Warisan, Mohd Shafie Apdal turut mendedahkan bahawa Muhyiddin menghubunginya untuk mendapatkan sokongan bagi membolehkannya menjadi perdana menteri sekali lagi.

Dalam pada itu, Zahid berkata perjumpaan Muhyiddin dengan Mahathir membongkar niat sebenar presiden Bersatu itu.

“Kita fikir mereka berdiri atas ideologi. Rupa-rupanya semua demi kepentingan peribadi.

“Presiden Bersatu juga dilaporkan mengadakan pertemuan dengan presiden PKR baru-baru ini walaupun tidak ada butiran lanjut,” katanya.

Leave a Reply