Pembangkang ketandusan idea untuk bentuk gabungan baharu

Hebahkan !!!

Banyak kedengaran berita pemimpin parti tertentu buat pertemuan dengan pemimpin tertentu untuk membincangkan cadangan untuk membuat gabungan baharu untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Mereka jelas sudah kelihatan buntu dan hilang arah untuk mencari idea nama dan bentuk gabungan baharu berkenaan kerana semuanya sebelum ini gagal.

Walaupun, gabungan yang diberi nama Pakatan Harapan (PH) nampak berjaya kerana menumbangkan BN pada PRU14 pada 2018, ia tidak bertahan lama selepas Perdana Menteri pada masa itu Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan.

Gabungan parti pembangkang menentang BN ini awal-awal dahulu ada yang dinamakan Barisan Alternatif (BA) yang ditubuhkan secara komitmen untuk PRU tahun 1999.

Ia diadakan selepas Presiden PKR ketika ini Datuk Seri Anwar Ibrahim dilucutkan jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 1998. BA terdiri dari PAS, DAP, PKR dan Parti Rakyat Malaysia (PRM).

Ia gagal kerana DAP mengumumkan berundur dari PAS kerana kemenangan besar PAS menggugat kedudukan mereka.

Pada 2008 PAS, PKR dan DAP kemudiannya menubuhkan Pakatan Rakyat pula menggantikan BA.

Pakatan Rakyat pada masa itu untuk PRU 2008 dianggap satu perikatan longgar parti politik Malaysia dan ia ditubuhkan pada 1 April tahun berkenaan.

Walaupun pada ketika itu mereka menang 82 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen mereka masih gagal menumbangkan BN secara keseluruhan dan BN masih mampu membentuk kerajaan.

Pada 16 Jun 2015, Lim Guan Eng pada masa itu sebagai Setiausaha Agung DAP mengeluarkan kenyataan bahawa Pakatan Rakyat tidak lagi wujud dan kemudian digantikan dengan Pakatan Harapan (PH).

PH ditubuhkan untuk PRU ke-14 pada 2018, mereka berjaya menewaskan BN itu pun dengan bantuan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang sebelum itu musuh sejati bagi mereka.

Demi untuk melunaskan ketamakan kuasa untuk mentadbir Malaysia, mereka sanggup mengenepikan semua prinsip anti-Mahathir asalkan BN dapat dikalahkan.

Sudahnya, kerajaan PH tahun 2018 gagal dan tamat hanya dalam masa 22 bulan sahaja.

Kini, menjelang PRU15 yang mungkin diadakan pada tahun ini juga parti-parti yang sama juga kini sibuk jumpa sana jumpa sini untuk mencari parti yang boleh dibuat kawan menghadapi PRU15.

Walaupun penyandang kemenangan PRU14 ialah PH tetapi pencapaian BN menang banyak siri Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN).

Paling menyerlah ialah PRN di Melaka dan Johor.

Sebelum ini, bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ada buat pertemuan dengan Mahathir untuk bincang untuk buat gabungan tapi kemudian Mahathir buat kenyataan bahawa Muhyiddin mahu minta sokongannya untuk jadi Perdana Menteri sekali lagi.

BN sedang mempersiapkan jentera dengan giat menjelang PRU15 tetapi parti lain sibuk bertemu orang baru hendak membentu gabungan baharu dan memberi nama baharu.

Leave a Reply