Harga ayam naik 30 sen di Perlis

Hebahkan !!!

ARAU: Harga ayam di Perlis naik 30 sen bermula semalam antara RM8.90 hingga RM9.20 sekilogram (kg) berikutan pembekal mendakwa berlaku peningkatan kos harga barangan.

Tinjauan di Pasar Besar Arau dan gerai jualan ayam persendirian di Mata Ayer, Kangar mendapati terdapat pelbagai jenis harga dijual oleh penjual ayam berdasarkan pembekal yang berlainan.

Peniaga ayam, Ku Azri Mutalib, 37, berkata dia menjual ayam segar pada harga RM8.90kg dan mengakui terdapat pelbagai variasi harga ayam mentah yang dijual di Pasar Besar Arau.

“Sebenarnya, ia (harga) bergantung kepada pembekal masing-masing yang membekalkan stok ayam mentah kepada penjual dengan harga tertentu.

“Seperti yang kita tahu, terdapat pelbagai kenaikan kos harga barangan ketika ini, jadi sudah tentulah pembekal akan menjual stok ayam mentah dengan harga tertentu dan kita sebagai penjual juga tidak boleh terus kekal dengan harga sebelum ini,” katanya ketika ditemui di Pasar Besar Arau hari ini.

Beliau berkata, sebelum ini juga pernah terjadi harga ayam mentah mencecah sehingga RM12kg

Seorang lagi peniaga ayam yang mahu dikenali sebagai Hussein, 30, berkata kenaikan harga itu adalah biasa dan bukanlah sesuatu yang sengaja ditetapkan oleh penjual.

“Pembekal membekalkan bekalan ayam mentah ini kepada saya dengan harga yang tinggi, jadi untuk mendapatkan semula modal jualan saya perlulah menjual pada harga yang agak setimpal seperti yang ditetapkan pembekal.

“Setakat ini, harga yang dijual sekitar RM8.90 hingga RM9.40kg dan harga ini tidak tetap dan berubah setiap masa bergantung kepada pembekal,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perlis, Norazah Jaapar, berkata pihaknya mengakui berlaku peningkatan harga barangan mentah terutama ayam mentah di Perlis.

“Harga barangan mentah pada satu hingga dua hari Ramadan ini mengalami peningkatan dengan kenaikan seperti ayam mentah standard sebanyak 30 sen.

“Ketika sebelum Ramadan, harga ayam dijual sekitar RM8.90kg, namun ia mengalami peningkatan sehingga RM9.20kg memandangkan peniaga juga ada memaklumkan kepada kita terdapat peningkatan kos pada harga modal bekalan ayam mentah dan ia tidak boleh dielakkan.

“Harga ayam mentah di Perlis ketika ini sudah melepasi Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) yang ditetapkan kerajaan sejak awal tahun ini,” katanya ditemui ketika melakukan tinjauan harga barang makanan di Bazar Ramadan Persiaran Wawasan, Kangar.

Norazah berkata, menyedari hal itu pihaknya sudah memaklumkan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dan perkara itu sudah dalam perhatian dan tindakan kementerian berkenaan.

“Selain ayam, terdapat juga kenaikan harga cili merah sebanyak RM2 dengan sebelum ini harganya sekitar RM15kg, namun ia dijual pada harga RM17kg pada waktu ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Leave a Reply