Agong dan Raja Permaisuri Agong positif COVID-19

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menjalani kuarantin kendiri di Istana Negara selepas disahkan positif Covid-19.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan berkata, Al-Sultan Abdullah akan menjalani kuarantin kendiri hingga Khamis (7 April) manakala Tunku Azizah hingga Jumaat (8 April).

Beliau berkata Seri Paduka berdua berkenan menjalani kuarantin kendiri selaras dengan protokol dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan bagi kes positif Covid-19 yang mengalami gejala ringan atau tidak bergejala.

“Adalah dimaklumkan Seri Paduka Baginda berdua hanya mengalami gejala ringan. Kesihatan Seri Paduka Baginda berdua secara amnya adalah dalam keadaan baik dan tidak membimbangkan,” katanya.

Ahmad Fadil berkata bersempena ketibaan bulan Ramadan, Al-Sultan Abdullah menyeru rakyat supaya sentiasa berwaspada dan mengamalkan kawalan kendiri meskipun negara memasuki fasa peralihan ke endemik, semalam.

Seluruh rakyat turut diseru bersama mendoakan semoga Seri Paduka berdua dikurniakan kesembuhan dengan segera serta keafiatan yang berpanjangan.

Leave a Reply