Shuib Sepahtu mengaku kini sedang berkawan dengan seseorang

Hebahkan !!!

BACHOK – Pelawak, Shuib Sepahtu mengaku sedang berkawan dengan seseorang, namun, bukan dalam kalangan penggiat industri seni.

Shuib bagaimanapun enggan mengulas perkara itu, sebaliknya, menyerahkan urusan jodoh kepada Allah SWT.

“Soal sudah buka pintu hati, saya tidak boleh komen. Dalam hidup, banyak benda yang kita tak jangka berlaku, berlaku.

“Macam kehilangan arwah (Allahyarham Siti Sarah Raissuddin) pergi dengan mengejutkan.

“Jadi, saya harapkan Allah SWT berikan yang terbaik untuk saya dan anak-anak,” katanya ditemui selepas menyerahkan dua rumah baharu yang dibina kepada mangsa kebakaran di Kampung Alor Bakat, di sini.

Shuib, 38, tidak memandang serius soal beberapa artis wanita yang dikaitkan dengan dirinya sebelum ini. Malah, dia menganggap ia sekadar hiburan.

“Saya anggap orang ambil berat pasal saya. Namun, di pihak saya sendiri, masih okay lagi (hidup sendiri),” katanya.

Shuib berkata, dia sedang mempersiapkan diri menyambut Ramadan bersama anak-anak buat kali pertama tanpa Allahyarham Siti Sarah yang meninggal dunia akibat COVID-19, Ogos tahun lalu.

Tambahnya, paling terkesan sudah pasti Aidilfitri kelak yang hanya diraikan bersama anak-anak iaitu Uwais Alqarni, 11; Dzahira Talita Zahra, 9; Ariq Matin, 7 dan Ayash Affan yang berusia tujuh bulan.

“Kegemaran saya pada bulan puasa adalah pajeri nanas, arwah tahu masak makanan kegemaran saya.

“Hendak hadapi buat pertama kali agak susah, anak-anak kekuatan saya dan mereka teruja hendak berpuasa penuh,” katanya.

Shuib mengotakan janji menyiapkan rumah kepada dua mangsa kebakaran iaitu Halimah Mayin, 61 dan Siti Hawa Hamat, 72, selepas kediaman mereka hangus dalam kejadian pada 13 Februari, tahun lalu.

Shuib berkata, arwah isterinya antara individu yang beriya-iya mahu menyiapkan rumah baharu itu dan suka melakukan kerja kerja kebajikan.

Tambahnya, atas inisiatif itu, pihaknya bersama Syarikat Bubblebee Sdn Bhd akan menubuhkan sebuah yayasan bagi melaksanakan kerja kebajikan.

“Yayasan ini akan digerakkan selepas Aidilfitri kelak. Sepatutnya, arwah jadi Yang Dipertua (YDP), tetapi kita tetap teruskan projek yayasan ini yang menjadi impian arwah,” katanya. – ©Berita Harian

Leave a Reply