KDN cadang bentang semula usul pelanjutan subseksyen SOSMA

Hebahkan !!!

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) mencadangkan usul pelanjutan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) dibentangkan sekali lagi sebelum 31 Julai ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pihaknya akan berbincang semula dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Yang Dipertua Dewan Negara untuk menentukan cara pelaksanaannya.

Hamzah berkata, pihaknya juga akan mencadangkan Sidang Khas Dewan Negara diadakan sebelum 31 Julai iaitu tarikh akhir tamat tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) nanti, bagi membincangkan usul pelanjutan itu selepas ia dibawa semula ke Dewan Rakyat.

“Kita akan berbincang semula dengan kedua-dua Yang Dipertua sama ada Dewan Rakyat atau Dewan Negara untuk menentukan bagaimana untuk lakukan ini semula,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi libat urus bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) di Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada Jumaat.

Sebanyak 10 NGO hadir memberi sokongan kepada KDN berkaitan keperluan dan kepentingan Subseksyen 4(5) Akta Sosma 2012.

Sebelum ini, usul kerajaan bagi melanjutkan tempoh penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) berkenaan tahanan selama 28 hari tanpa perbicaraan gagal mendapat undi belah bahagi di Dewan Rakyat.

Kegagalan kerajaan itu juga mencatat sejarah apabila buat pertama kalinya blok pembangkang menang dalam penentuan undi belah bahagi. – ©Sinar Harian

Leave a Reply