Tabung Haji nasihatkan umat Islam berhati-hati tawaran tunaikan haji

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) menasihati umat Islam di negara ini supaya lebih berhati hati dengan pakej haji ditawarkan segelintir agensi pelancongan bagi musim haji 2022.

Pengarah Eksekutif Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, berkata ketika ini kerajaan Malaysia dan TH masih menunggu pengumuman rasmi berhubung urusan haji daripada Kerajaan Arab Saudi.

“Pihak kami dan kedutaan Arab Saudi mendapati ada segelintir agensi pelancongan mengambil kesempatan mengiklankan pakej-pakej haji mahupun badal haji yang amat meragukan.

“Kepada mana-mana individu atau agensi pelancongan yang menawarkan perkhidmatan pakej haji tanpa kelulusan daripada TH adalah menjadi satu kesalahan dan mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Syed Saleh berkata, pada awal bulan ini, TH melakukan persediaan awal dengan melantik 22 syarikat pelancongan tempatan untuk beroperasi sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH) bagi musim haji 2022.

Kesemua PJH yang dilesenkan tidak dibenar mengeluarkan sebarang iklan pakej haji sehingga kebenaran rasmi dikeluarkan oleh TH.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan Tabung Haji (THCC) dengan menelefon 03- 6207 1919. – ©Berita Harian

Leave a Reply