Pelanggan restoran dikenakan tindakan hisap Shisha

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR – “Kami tidak tahu tidak boleh hisap shisha”. Itu antara alasan pelanggan yang datang ke restoran makanan Arab selepas diserbu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam Operasi Bersepadu Shisha di sini, malam tadi.

Pada operasi bermula 8 malam itu, ada juga dalam kalangan pelanggan terbabit yang tidak berpuas hati dan mempertikaikan tugas pegawai penguat kuasa KKM.

Sudahlah melakukan kesalahan menghisap shisha di premis makanan, seorang wanita warga Yaman turut mempertikaikan tindakan pihak KKM melarangnya daripada menghisap shisha.

Pegawai KKM terpaksa menerangkan kepadanya selama beberapa minit apabila wanita terbabit bersama dua lagi rakannya enggan memberi kerjasama sebelum akhirnya akur dan dikenakan kompaun.

Alasan diberi dia tidak tahu undang-undang di negara ini melarang individu menghisap shisa di premis makanan, sedangkan dia sudah tinggal lama di negara ini.

Ketua Sektor, Sektor Kawalan Tembakau dan Urusetia FCTC,Bahagian Kawalan Penyakit, Dr Noraryana Hassan berkata, operasi bersepadu itu dijalankan bersama Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan, DBKL dan Ibu Pejabat KKM.

Menurutnya, operasi yang dijalankan adalah bagi memastikan pematuhan kepada larangan merokok khusus berkaitan menghisap shisha dan perkara berkaitan dengan Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004.

“Di bawah Peraturan 11 ini, sebanyak 23 tempat larangan diwartakan termasuk tempat makan berhawa dingin dan tempat makan terbuka,” katanya pada sidang media selepas operasi itu, malam tadi.

Dr Noraryana berkata, peraturan ini juga memperuntukkan Peraturan 12 iaitu tanggungjawab tuan punya premis iaitu bagi tuan punya premis yang tidak mempamerkan tanda larangan merokok atau menyediakan kemudahan merokok, mereka boleh dikenakan kompaun sehingga RM500.

“Sebanyak 13 premis di tempat tumpuan utama dilawati iaitu Kampung Baru, Kepong, sekitar Jalan Ampang membabitkan sejumlah 65 anggota daripada Unit Inspektorat dan Perundangan Negeri Kuala Lumpur dan Putrajaya Putrajaya, Ibu Pejabat KKM dan DBKL.

“Sebanyak 21 notis dikeluarkan mengikut Peraturan 11 dengan nilai kompaun RM5,250 sementara di bawah peraturan 12 sebanyak 12 notis dikeluarkan dengan nilai kompaun RM6,000,” katanya.

Beliau berkata, penguatkuasaan kepada pematuhan larangan merokok di bawah PPKHT 2004 terutama di tempat makan akan terus dijalankan secara berterusan. – ©Berita Harian

Leave a Reply