Pemuda UMNO tempelak Syed Saddiq isu penggunaan bahasa Melayu

Hebahkan !!!

 

SHAH ALAM – Pemuda UMNO menempelak kenyataan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berhubung usaha penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN yang didakwa sebagai langkah untuk meraih sokongan bagi pilihan raya akan datang.

Pengerusi Biro Antarabangsanya, Ikmal Hazlan Ikmal Hisham berkata, dakwaan yang dikeluarkan oleh Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) melalui siaran di Facebook itu bersifat polemik politik semata-mata.

Ujar beliau, Syed Saddiq seharusnya berpandangan jauh dengan menggunakan laras hujah yang membina, bukannya berunsur provokatif.

“Pemilihan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi Malaysia juga merupakan hasil persetujuan dan persepakatan oleh pemimpin pelbagai kaum di negara ini.

“Begitulah kukuhnya nilai permuafakatan di antara tokoh-tokoh terdahulu dan nilai inilah yang telah membina asas penyatuan dan kebersatuan yang dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia pada hari ini.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya mengunakan dan memartabatkan bahasa Melayu bukan sahaja di Malaysia malah di seantero dunia kerana ia merupakan lambang jati diri warganegara dan sebagai lambang negara Malaysia di persada dunia,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Pada Rabu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan bahawa semua persidangan antarabangsa anjuran Malaysia di dalam dan luar negara akan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa utama.

Pada Selasa, Syed Saddiq dalam siaran di Facebooknya memaklumkan turut menyambut baik perkara berkenaan.

Bagaimanapun, Syed Saddiq turut melahirkan kerisauan mengenai langkah tersebut dan mendakwa bahawa ia hanya bertujuan bagi mendapatkan sokongan dalam pilihan raya akan datang.

Dalam pada itu, Ikmal Hazlan berkata, pemartabatan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa tidak seharusnya dipandang enteng atau dianggap sebagai tindakan yang menafikan kepentingan bahasa rasmi dunia, iaitu bahasa Inggeris.

“Pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-76, kita dapat melihat utusan khas dari Korea Selatan telah menyampaikan ucapan mereka menggunakan bahasa rasmi negara mereka.

“Langkah yang diambil oleh utusan khas Korea Selatan ini bukan bermakna mereka menidakkan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi antarabangsa, malah bahasa Inggeris juga semakin digunakan di negara tersebut tetapi ini menunjukkan bahawa mereka tidak merasa kekok dalam memperakukan dan mempertontonkan jati diri bangsa mereka di mata antarabangsa,” ujarnya.

Leave a Reply