Warga Emas Hilang Ingatan Ditemui Lemas

Hebahkan !!!

BALING – Seorang warga emas ditemukan lemas di Sungai Ketil berdekatan Kampung Bawah Gunung di sini hari ini.

Mayat mangsa, Puteh Youp, 87, yang hilang ingatan dan menghidap penglihatan kabur ditemukan lemas kira-kira pukul 11.20 pagi.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, mangsa dipercayai terjatuh di sungai tersebut berdekatan rumahnya di Kampung Bawah Gunung pada pukul 2 pagi.

Katanya, mayat mangsa ditemukan sejauh 1.3 kilometer dari tempat kejadian.

“Mangsa disyaki tergelincir setelah keluar dari rumahnya melalui pintu belakang kerana terdapat kesan tergelincir berhampiran tebing sungai tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kulim dekat sini untuk bedah siasat.

Mangsa dibawa balik ke Balai Polis Baling untuk tujuan dokumentasi bagi urusan bedah siasat dan pengecaman mayat oleh keluarga mangsa sebelum dibawa ke Unit Forensik Hospital Kulim.

Sementara itu, menantu mangsa, Mariam Awang, 40, berkata, mereka menyedari kehilangan bapa mentuanya apabila terlihat pintu belakang rumahnya terbuka dan bapa mentua didapati tiada di dalam biliknya.

“Lebih kurang pukul 2 pagi, ibu mentua, Rubiah Ahmad, 71, mengejutkan kami mengatakan bapa tiada di biliknya dan kami sekeluarga mencarinya di dalam rumah dan terlihat pintu di belakang rumah terbuka. Kami terus mencarinya sekeliling rumah dan ternampak kesan seperti sesuatu terjatuh di tebing sungai yang terletak sejauh kira-kira empat meter sahaja dari pintu belakang,” katanya.

Menurutnya, ahli keluarganya kemudian menghubungi pihak bomba selepas usaha mereka mencari bapa mentuanya oleh jiran-jirannya gagal. – ©Utusan Online

Leave a Reply