Sultan Kelantan Bangga Prestasi Kewangan Kerajaan Negeri

Hebahkan !!!

KOTA BHARU – Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V merakamkan rasa bangga dengan prestasi kewangan kerajaan negeri tahun lalu dan sebelumnya yang menunjukkan pengukuhan dan berdaya tahan walaupun beroperasi dalam ekosistem persekitaran ekonomi yang lebih mencabar akibat pandemik Covid-19.

Sultan Muhammad V bertitah, kerajaan Kelantan melalui dasar kewangan yang komprehensif berjaya mengawal perbelanjaan mengurus berdasarkan keutamaan perbelanjaan yang memberi impak terus kepada rakyat melalui projek ‘people-centric’ seperti pembinaan atau pembaikian Rumah Dhuafat, bantuan Al-Musa’adah dan Rumah Mampu Milik di Daerah Badang.

“Di kesempatan ini Beta ingin menzahirkan dan merakamkan ucapan tahniah kepada kerajaan Kelantan yang berjaya mencapai prestasi akaun semasa kerajaan negeri pada 2021 dengan mencatat lebihan sebanyak RM47.61 juta berbanding tahun 2020. Pencapaian ini dicatatkan selama lima tahun berturut-turut,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian menerusi Titah Ucapan Diraja yang dibacakan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob pada Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan ke-14, di sini hari ini.

Titah baginda, peningkatan perbelanjaan pembangunan setiap tahun melebihi RM152 juta memberikan gambaran bahawa kerajaan membelanjakan sejumlah wang bagi perbelanjaan modal untuk kesejahteraan rakyat terutama kepada projek infrastruktur dan kemudahan asas.

“Pembangunan infrastruktur yang sempurna adalah nadi kepada kemajuan dan pembangunan sesebuah negeri. Beta menaruh harapan dengan adanya pembinaan seperti Jambatan Pengkalan Kubor-Tak Bai, Projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) dapat mewujudkan rangkaian lebuh raya menyeluruh yang bertindak sebagai tulang belakang kepada sistem pengangkutan Wilayah Pantai Timur Semenanjung Malaysia,” titah baginda.

Sultan Muhammad V turut prihatin agar kerajaan negeri serta Kerajaan Persekutuan dapat memberi tumpuan khusus kepada Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB), memandangkan negeri Kelantan terdedah dengan bencana banjir sejak dahulu.

“Ia merangkumi Projek Empangan Sungai Lebir yang berfungsi sebagai projek tebatan banjir, bekalan sumber air, pengairan pertanian dan juga eko-pelancongan disamping sebagai sumber penjanaan elektrik.

“Beta juga berharap agar kerajaan dapat memperkasakan usahawan dalam kategori “home based business” dan mikro ini dengan menyediakan lebih banyak bantuan seperti bantuan peralatan, kursus bimbingan dan khidmat nasihat.

“Belia digalakkan mengambil peluang yang ada dengan perkembangan teknologi berasaskan internet sebagai platform niaga,” titah baginda. – ©Harian Metro

Leave a Reply