Elak Tindakan, Penjaja Jeruk Mangga Sorok Jualan Dalam Longkang

Hebahkan !!!

JOHOR BAHRU – Bagi mengelakkan tindakan pihak berkuasa, sekumpulan penjaja jeruk buah-buahan sanggup menyimpan dan menyorok produk berkenaan di dalam longkang dan berhampiran loji kumbahan.

Perbuatan itu terbongkar apabila Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Johor mengadakan Op Khas Penjaja Jalanan di sekitar kawasan Bandar Baru Uda, di sini, pada jam 2.30 petang semalam.

Ketua JSPT Johor, Superintendan M Kumarasan, berkata operasi itu diadakan susulan aduan yang diterima mengenai aktiviti penjaja jalanan yang semakin berleluasa di sekitar kawasan Johor Bahru.

“Ia operasi berkala bagi menangani isu penjaja jalanan. Berdasarkan statistik dan data yang diperoleh, sebanyak 52 lokasi tumpuan penjaja jalanan dikenal pasti dan tumpuan utama adalah persimpangan lampu isyarat di laluan utama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, hasil operasi mendapati bungkusan jeruk disorok di lokasi yang tidak sepatutnya, iaitu dalam longkang dan berhampiran kawasan kumbahan bagi mengelak dikenakan tindakan oleh penguat kuasa.

“Ia sikap tidak bertanggungjawab dan memandang remeh isu kebersihan makanan serta risiko penyakit bahaya yang boleh disebarkan sekiranya ia tercemar.

“Sikap individu yang mencari jalan mudah, meraih simpati pengguna jalan raya dengan menggajikan pekerja asing menjaja jeruk tanpa mengira risiko dan bahaya kepada diri sendiri serta pengguna, boleh mengundang kemalangan,” katanya.

Kumarasan berkata, aktiviti menjaja di jalan awam adalah menyalahi peraturan serta undang-undang dan mereka yang menjalankan urusan jual beli di lokasi terbabit boleh diambil tindakan mengikut Kaedah 10A (1) dan Kaedah 10A (2) LN 166/59 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM2,000.

“Mengikut undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan, ia juga melanggar peraturan dan boleh diambil tindakan kompaun serta sita semua barang-barang yang dijaja,” katanya meminta pihak terbabit menghentikan aktiviti menjaja di jalan awam bagi mengelak kejadian tidak diingini khususnya kemalangan maut dan gangguan kelancaran trafik. – ©Berita Harian

Leave a Reply