Amalan Iktikaf Kembali Dibenarkan Di Masjid Nabawi dan Masjidil Haram Ramadan Ini

Hebahkan !!!

MEKAH – Amalan iktikaf di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi akan kembali dihidupkan pada bulan Ramadan tahun ini selepas dua tahun tidak dibenarkan, lapor akhbar Saudi Gazette, semalam.

Iktikaf adalah amalan menghabiskan masa di dalam masjid untuk menjalani ibadah selama beberapa hari terutamanya di bulan Ramadan.

Perkara itu diumumkan oleh Ketua Presidensi Umum untuk Hal Ehwal Dua Masjid Suci, Dr. Abdul Rahman Al-Sudais.

Abdul Rahman berkata, pejabat presiden akan mula mengeluarkan permit melalui laman web rasminya tidak lama lagi beserta dengan syarat khusus dan kriteria yang ditetapkan.

Amalan iktikaf tidak dibenarkan di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi sepanjang Ramadan pada 2020 dan 2021 berikutan penularan wabak Covid-19.

Menjelang 10 hari terakhir bulan puasa, kedua-dua masjid pernah menerima sehingga 100,000 jemaah beriktikaf ketika waktu sebelum pandemik.

Pada 2019, pejabat presiden telah memperuntukkan kawasan di bumbung masjid untuk iktikaf dengan rak dan peti besi berasingan.

Setiap jemaah diberikan loker sendiri dengan kunci untuk menyimpan barang-barang mereka, termasuk sejadah, bantal, cadar ringan dan pakaian ihram.

Dalam pada itu, pejabat presiden turut melancarkan portal online untuk memberi garis panduan dan kemudahan pendaftaran kepada bakal jemaah yang berniat untuk melakukan iktikaf.

Leave a Reply