Izzah tempelak PM umum gaji minimum pada Perhimpunan Agung Umno

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Parlimen PKR menempelak Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob kerana mengumumkan pelaksanaan kadar baharu gaji minimum RM1,500 pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) Sabtu lalu.

Nurul Izzah Anwar (PH-Permatang Pauh) berkata, beliau terkejut dengan tindakan Ismail itu kerana ini julung kali perdana menteri membuat pengumuman dasar utama kerajaan dalam acara parti politik.

“You are Prime Minister for all of Malaysia (Anda adalah perdana menteri untuk semua rakyat Malaysia), bukan hanya parti masing-masing.

“Jadi, sementara kita sambut baik, tapi kita kena ingat isu RM1,500 diuar-uarkan sebelum pandemik menyerang ataupun menghimpit kita semua,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Kerja (Pindaan) 2021 di Dewan Rakyat hari ini.

Izzah berkata, semakan gaji minimum sepatutnya dilakukan setiap dua tahun, berdasarkan Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732).

“Ia permulaan yang baik, tapi ia relevan mungkin untuk empat tahun lalu dan saya bukan mengatakan kita tidak ambil kira keperluan majikan, tapi kena adil.

“Kalau ikut keperluan sekarang, sepatutnya lebih tinggi dan ini berkait kepada pindaan,” katanya.

Kelmarin, Ismail dalam ucapan penggulungan PAU 2021 mengumumkan kadar gaji minimum baharu RM1,500 akan berkuat kuasa mulai 1 Mei ini.

Katanya, kenaikan daripada kadar gaji minimum semasa RM1,200 itu hanya membabitkan syarikat besar dalam sektor swasta yang mempunyai lima pekerja atau lebih dan tidak membabitkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana.

 

Leave a Reply