Pencuri Nekad, Van Jenazah Pun Dicuri

Hebahkan !!!

PADANG BESAR – Sebuah van jenazah dilaporkan hilang dari sebuah garaj parkir masjid dekat Beseri di sini semalam, sudah ditemui berhampiran Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (ICQ) Padang Besar.

Van jenazah itu ditemui ditinggalkan di parkir kompleks ICQ berkenaan lewat malam tadi.

Kehilangan dipercayai sekitar jam 10 pagi semalam, apabila seorang pembantu Masjid al-Ghafor, Padang Lati, Beseri, Padang Besar, terlihat van jenazah jenis Kia Pregio berwarna perak milik masjid itu berada di atas jalan raya dekat simpang Alor Tampang, Beseri.

Menyangkakan ada kes kematian dalam kariah itu sehingga memerlukan khidmat van jenazah berkenaan, maka mangsa tidak mengesyaki apa-apa yang berlaku.

Malah, pembantu masjid itu berpendapat berkemungkinan pemandunya sudah mendapat kebenaran pengurusan untuk menggunakan van berkenaan yang lazimnya ditinggalkan dalam keadaan tidak berkunci.

Bagaimanapun, apabila pembantu masjid hadir untuk bersolat Zohor kira-kira jam 12.45 tengah hari, beliau dapati van berkenaan masih belum ada di parkir di situ.
Susulan itu, dia menghubungi kakitangan masjid bertanyakan perihal van berkenaan sebelum diberitahu mereka juga tidak mengetahui siapa yang membawa keluar kenderaan itu.

Pembantu terbabit kemudian keluar bersama penduduk kampung mencari van berkenaan itu di sekitar Beseri tetapi gagal menemuinya sebelum membuat laporan di balai Polis Beseri jam 5.25 petang.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Saifudin Aslin Abbas, ketika mengesahkan kejadian, berkata van itu ditemui di parkir Kompleks ICQ Padang Besar oleh pasukan polis peronda yang melakukan rondaan di kawasan berkenaan.

“Polis sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup masjid itu untuk mengenal pasti suspek yang melarikan van terbabit untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan,” katanya. – ©Berita Harian

Leave a Reply