Jiwa Besar Hasni

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR – Kejayaan Umno dan Barisan Nasional melakar kemenangan bergaya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini disentuh oleh hampir semua pembahas pada Perhimpunan Agung Umno.

Bukan saja di dalam dewan, aura kemenangan itu turut dibawa ketika berborak di kiosk di luar dewan sambil memberikan hujah masing-masing.

Bagai dijangka, sejak perasmian sayap pada Rabu lagi, topik catatan kemenangan dan jiwa besar bekas Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohamad menjadi antara topik utama pada perhimpunan parti terbesar orang Melayu itu.

Malah ia disusuli dengan ucapan dasar Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menzahirkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Benut itu dengan tepukan gemuruh dari Dewan Merdeka.\

Lalu ia memberi gambaran betapa sosok Hasni ini begitu dihormati bukan saja di Johor, malah ahli parti serta jentera yang membantu pada PRN baru-baru ini.

Malah, cara beliau menerima ‘takdir’ tidak dilantik semula Menteri Besar juga dikagumi rata-rata ahli parti yang masih lagi cuba menghadam apa yang berlaku di negeri selatan itu.

“Biarpun kita ‘order’ barang secara ‘online’ tetapi barang yang sampai lain tetapi beliau tetap jadi kebangaan rakyat Johor,” kata Ahmad Zahid, memberi gambaran bahawa parti itu sudah melaksanakan tanggungjawab untuk memberikan nama Hasni seperti dititahkan Sultan Johor.

Pun begitu, pesanan Ahmad Zahid kepada perwakilan mengenai keakuran parti dalam isu pelantikan Datuk Onn Hafiz Ghazi menjadi petunjuk jelas bahawa Umno terus memandang ke depan.

Dan keterbukaan Hasni mengajak semua Bangsa Johor untuk bersama-sama membina negeri yang makmur juga dihargai pendokong parti di peringkat akar umbi.

Sekurang-kurangnya, isu pelantikan jawatan itu tidak dijadikan modal oleh mana-mana perwakilan PAU2021 terutama yang menyokong Hasni untuk meluahkan rasa kecewa dan sikap ‘gentlemen’ ini menunjukkan mereka memahami peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor.

Leave a Reply