Seteru parti mahu bunuh Umno melalui MoU, dakwa Zahid

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR: Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mendakwa seteru parti mempunyai muslihat untuk membunuh Umno dengan bersetuju menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan kerajaan.

Bercakap di hadapan 2,666 perwakilan dari seluruh negara, Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, setiap ahli Umno perlu sedar bahawa pihak lawan tidak pernah berhenti berusaha untuk menghancurkan parti Melayu itu.

“Kita seharusnya sedar bahawa lawan-lawan kita itu tidak pernah berhenti daripada berusaha untuk menghancurkan kita.

“Apabila mereka bersetuju untuk menandatangani memorandum persefahaman, ia bererti mereka ada muslihat tertentu,” katanya dalam ucapan dasar presiden Umno sempena Perhimpunan Agung Umno 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL).

“Saya percaya, mereka menerima kita kerana mereka tahu itulah cara mereka boleh membunuh kita.”

Zahid kemudian mempersoalkan sama ada kerajaan pimpinan Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob masih mahu meneruskan MoU Transformasi dan Kestabilan Politik, yang ditandatangani pada 13 Sept lalu.

“Mereka tidak pernah menyukai kita! Bacalah perlembagaan setiap parti lawan kita. Sedarlah!

“Anda (kerajaan) sedang tidur bersama musuh anda (You are sleeping with your enemies). Mereka menyimpan belati dalam selimut kita. Apakah kita mahu menyambung MoU itu lagi?,” soal Zahid.

Wakil Pakatan Harapan (PH), Anthony Loke pada 10 Mac lalu menawarkan untuk melanjutkan MoU dengan syarat perdana menteri tidak melayan desakan Umno supaya pilihan raya umum ke-15 (PRU15) disegerakan.

“Sekarang bukan masa untuk buat PRU dan saya nak cadangkan YB Bera (Ismail) supaya jangan tunduk kepada tekanan (Presiden Umno Zahid Hamidi). Kita tahu (beliau) akan tekan minggu depan buat PRU, bubar Parlimen.

“Saya nak sarankan kepada YB Bera (Ismail) selepas kita luluskan pindaan perlembagaan berkenaan akta lompat parti, kita boleh bincang lanjutkan MoU selepas 31 Julai atau MoU 2.0,” kata Loke, yang juga Ahli Parlimen Seremban, dalam sidang Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, Zahid akur bahawa kuasa untuk membubarkan Parlimen adalah keputusan Kabinet dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong, namun sebagai parti yang menjunjung perlembagaan negara, namun mahu segala kecelaruan politik yang sedang melanda negara menemui noktah segera.

“Kita faham bahawa kuasa untuk membubarkan Parlimen adalah keputusan Kabinet, di mana perdana menteri yang akan berurusan dengan memohon perkenan kepada DYMM Yang di-Pertuan Agong. Kita tidak mahu mengganggu urusan itu.

“Tetapi, Umno sebagai sebuah parti yang bertanggungjawab, kita ada kuasa untuk menentukan arah tuju parti kita sendiri,” tegasnya.

“Semua kejadian ini menuntut satu pembaharuan institusi politik dilaksanakan segera, demi memastikan kecelaruan politik dapat dinoktahkan.”

Leave a Reply