PM akan mengalah kepada desakan Umno adakan PRU15 awal, kata penganalisis

Hebahkan !!!

PETALING JAYA: Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob akan mengalah kepada desakan Umno supaya mengadakan pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) pada tahun ini, kata seorang penganalisis.

Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, ia mungkin berlaku selepas tamat tempoh perjanjian persefahaman (MoU) antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) pada Julai.

“Kini ia semua bergantung kepada Ismail. Kepentingan siapa yang beliau ingin utamakan? Sepatutnya kepentingan negara, maksudnya memanjangkan tempoh jawatan rakan Perikatan Nasional (PN) dalam Kabinet atau kepentingan Umno?” katanya kepada FMT.

Fauzi berkata, Ismail akan tunduk kepada tuntutan Umno kerana pemilihannya sebagai calon pada PRU15 bergantung pada kepimpinan parti.

Beliau mengulas gesaan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan supaya PRU15 diadakan pada tahun ini atas alasan pembangkang berpecah dan lemah selepas kekalahan besar dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka, Sarawak dan Johor. Gesaan sama turut dibuat oleh beberapa pemimpin Umno yang lain.

Fauzi berkata, Mohamad secara jelasnya menggesa Ismail supaya mengadakan PRU15 awal untuk memanfaatkan momentum yang dinikmati oleh BN selepas kemenangan di Melaka dan Johor.

“Lebih lama PRU15 ditangguhkan, lebih banyak masa untuk pembangkang mengatur semula strategi dan taktik bagi menghalang kemenangan besar BN yang dijangkakan,” katanya.

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, Ismail boleh terus menolak gesaan partinya untuk PRU15 awal selagi beliau mengekalkan sokongan Ahli Parlimen PN dan PH.

“Nampaknya PH memihak untuk meneruskan sokongan kepada beliau sehingga tamat penggal kerajaan sekarang,” katanya kepada FMT, selain menambah bahawa beliau tidak percaya dengan memanjangkan lagi tempoh untuk diadakan PRU15, ia akan mengubah keputusan.

“Mungkin ia hanya akan menjejaskan sedikit kemenangan Umno yang dijangkakan kerana kebanyakan orang Melayu telah kembali menyokong Umno sebagai kuasa yang kuat untuk melindungi kepentingan mereka, tidak kira apa yang berlaku.”

Leave a Reply