Israel Dakwa Sistem Internet Mereka Digodam, Laman Web Kerajaan Gagal Diakses

Hebahkan !!!

BAITULMAQDIS – Beberapa laman web termasuk milik kerajaan lumpuh selepas Israel menjadi sasaran serangan siber semalam.

Lembaga Siber Kebangsaan Israel berkata, gangguan perkhidmatan (DDoS) dikesan ke atas penyedia komunikasi yang mengakibatkan halangan akses kepada beberapa laman web untuk seketika, termasuklah laman web kerajaan.

“Serangan berlaku dalam dalam beberapa jam yang lalu dan setakat ini, semua laman web itu sudah kembali berfungsi,” kata agensi dibiayai kerajaan itu melalui Twitter.

Bagaimanapun, ketika diakses kembali semula di Israel, kumpulan pemantau web NetBlocks berkata, rangkaian kerajaan Israel itu ‘tidak boleh dicapai di peringkat antarabangsa’.

Percubaan wartawan AFP mencapai halaman utama beberapa kementerian Israel dan Lembaga Siber Kebangsaan, turut gagal.

Akhbar harian Israel Haaretz pula berkata, sumber dalam pertubuhan pertahanan negara itu percaya ia adalah serangan siber terbesar pernah dilancarkan terhadap negara itu.

Kementerian Perhubungan Israel berkata, mereka akan menjalankan penilaian situasi dengan perkhidmatan kecemasan di Kementerian Perhubungan, berikutan serangan siber yang meluas di laman web kerajaan.

Setakat ini, masih tidak jelas siapa melakukan penggodaman berkenaan.

Sebelum ini, penggodaman terhadap laman web Israel dikaitkan dengan penyerang dari Iran.

Kelmarin, Pengawal Revolusi Iran mengumumkan mereka melepaskan peluru berpandu ke ‘pusat strategik’ milik Israel di bandar Arbil di utara Iraq, namun pihak berkuasa Kurdish yang mengawal wilayah itu menafikan kewujudan pangkalan Israel di situ.

Serangan peluru berpandu itu berlaku hampir seminggu selepas dua pegawai Iran terbunuh dalam serangan roket di Syria yang didakwa didalangi Israel.

Israel jarang mengulas mengenai serangan individu di Syria, namun mengaku melancarkan ratusan serangan ke atas sasaran berkaitan Iran.

Leave a Reply