Tanah runtuh: Seorang lagi mangsa ditemukan meninggal dunia

Hebahkan !!!

PETALING JAYA: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) menemui mangsa ketiga kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang dekat sini, yang dikenal pasti sebagai pemilik rumah.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Mohamad Farouk Eshak berkata, mayat lelaki itu yang merupakan mangsa korban kedua runtuhan berkenaan ditemui di luar kawasan rumahnya dan dikeluarkan pada 10.58 malam tadi.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Ampang untuk tujuan pengesahan identiti,” katanya menurut laporan Bernama di lokasi kejadian malam ini.

Susulan kejadian tanah runtuh kira-kira 6 petang Khamis itu, katanya, rumah terbabit musnah sepenuhnya dan beralih dari kedudukan asalnya.

“Pasukan penyelamat sedang mengesan dua lagi mangsa melibatkan seorang pekerja Syarikat Air Selangor Sdn Bhd dan seorang penghuni rumah yang musnah dalam runtuhan berkenaan.”

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, operasi SAR akan diteruskan sehingga pagi esok untuk mencari dua lagi mangsa memandangkan cuaca baik serta tiada pergerakan tanah.

“Sekiranya berlaku hujan nanti, kita akan hentikan operasi.”

Terdahulu, Farouk dipetik Bernama mengesahkan seorang wanita tempatan berusia 80-an, yang juga mangsa kedua ditemui pasukan SAR pada 9.15 malam tadi, meninggal dunia.

Katanya, mayat wanita itu ditemui di dalam rumahnya dan telah dibawa ke Hospital Ampang untuk dibedah siasat.

Beliau berkata, wanita itu dipercayai isteri kepada mangsa pertama berusia 84 tahun yang terselamat dan cedera ringan.

Katanya, terdapat 15 rumah terjejas, dengan dua daripadanya tertimbus dalam kejadian itu.

“Setakat ini, belum dapat dipastikan sama ada kawasan ini benar-benar selamat atau sebaliknya. Kerja-kerja penilaian (tanah) sedang dijalankan Jabatan Kerja Raya,” kata Farouk.

Leave a Reply