Tanah pusaka kononnya ada uranium, wanita ini enggan berpindah meski ditawar hampir RM1 juta

Hebahkan !!!

JIKA ditawarkan wang pampasan bernilai berjuta ringgit selepas tanah pusaka yang didiami mahu dimajukan untuk projek pembinaan pangsapuri, adakah anda sanggup berpindah?

Bagi setengah pihak, barangkali duit durian runtuh yang diterima boleh digunakan untuk memulakan hidup baharu di tempat lain atau enjoy sakan beli barangan yang diimpikan.

Namun, tidak semua begitu ya. Masih lagi manusia di dunia itu yang tidak peduli sangat soal harta.

Baru-baru ini, sebuah keluarga di kota Jakarta, Indonesia dilaporkan enggan berpindah walaupun bakal bergelar jutawan segera.

 

Mengapa? Itu hanya kerana mereka mengenangkan nilai sentimental tanah warisan keluarga yang tiada galang gantinya.

Kisah keluarga itu tular di media sosial dan membuatkan ramai tepuk dahi serta seperti tidak percaya mereka sanggup melepaskan peluang keemasan tersebut.

Walaupun dikelilingi projek pangsapuri mewah, satu-satunya rumah usang iaitu milik mereka ‘tenggelam’ di kawasan laluan pangsapuri tersebut dan masih utuh sehingga kini.

Lapor merdeka.com, meskipun ditawarkan tawaran sebanyak 2.5 bilion rupiah (RM728,353.97), namun keluarga tersebut masih tidak berganjak.

Rumah warisan keluarga yang didiami Elis bersama suami dan anaknya yang masih bersekolah, asalnya adalah kawasan perumahan sebelum dibangunkan pemaju sejak tahun 2005.

Memetik laporan tersebut, wanita berusia 47 tahun itu masih enggan berpindah meskipun projek pembangunan rancak dijalankan pada tahun 2010.

Walaupun ditawarkan wang pampasan atau dua unit  apartment, namun isteri kepada Chairul Bahri tersebut tetap dengan pendirian mahu membela tanah pusaka keluarganya.

Chairul yang berusia 72 tahun berkata, walau pemaju sudah berunding dengan wang pampasan yang lumayan, namun isterinya masih enggan berpindah.

Misteri tanah pusaka

Pada perkembangan berkaitan, Elis pernah memberitahu media bahawa keluarganya enggan tunduk dengan permintaan pemaju kerana mahu melindungi sesuatu yang cukup berharga dalam rumah tersebut.

Tidak dijelaskan maksud sebenar, namun wanita itu mahu memastikan tanahnya tidak diganggu.

Jika dikatakan Elis hidup merempat, sangkaan itu salah sama sekali kerana wanita itu mempunyai banyak harta berupa rumah dan tanah di kawasan lain.

Malah kehidupan wanita itu agak mewah dengan memiliki perniagaan sewa dan perusahaan katering, manakala suaminya berniaga di Pasar Tanah Abang.

Barangkali nilai yang ditawarkan tidak setimpal dengan ‘harga’ tanah pusaka yang perlu dilepaskan. Mungkin…

Sementara itu, penduduk yang dikenali dengan nama Roni juga hairan kenapa keluarga itu masih bertahan di rumah usang tersebut.

“Kalau orang yang waras, mungkin sudah berpindah kerana wang yang ditawarkan banyak.

“Kononnya tanah itu mempunyai uranium, namun itu khabar angin sejak lebih 10 tahun yang lalu,” katanya.

uranium© Provided by Sinar Plus uranium

Uranium adalah sejenis unsur logam yang radioaktif, berwarna kelabu keperakan dengan simbol U dan nombor atom 92.

Bahan kimia itu biasanya digunakan untuk menghasilkan tenaga nuklear, senjata nuklear dan sebagainya.

Bukan sikit ya nilai pampasan yang ditawarkan, namun apa yang membuatkan ramai ragu-ragu kebenaran misteri di sebalik tanah pusaka tersebut.

Barangkali ramai yang menyifatkan tindakan wanita itu merugikan kerana melepaskan wang yang banyak.

Mungkin juga keluarga berkenaan mahu memelihara tanah pusaka yang diwarisi untuk anak dan cucunya nanti.

Apapun, harta peninggalan keluarga memang tiada galang gantinya lebih-lebih lagi tanah pusaka di bandar-bandar yang semakin pupus ditelan kemajuan.

 

Leave a Reply