Rakyat Johor Bukan Sahaja Mahu Hanya Kerajaan Negeri Stabil Tetapi Juga Kerajaan Persekutuan

Hebahkan !!!

SIMPANG RENGGAM – Pandangan rakyat negeri Johor terhadap masa depan politik sebenarnya lebih jauh apabila tidak mahu sekadar mendapat kerajaan negeri yang stabil tetapi juga kerajaan persekutuan yang kukuh.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata sejak berada di negeri Johor untuk membantu kempen Barisan Nasional (BN), beliau sudah bertemu dan mendapatkan pandangan daripada para pengundi pelbagai bangsa di Johor berkenaan harapan mereka sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Saya berbual dengan ramai kalangan masyarakat Cina, India apatah lagi kaum Melayu dan saya boleh sampaikan bahawa penerimaan dan harapan mereka untuk melihat supaya negeri Johor ini akan terus kuat dan stabil dalam pemerintahan pentadbiran dan politik.

“Pandangan mereka juga agak jauh sedikit supaya kerajaan persekutuan juga mempunyai pentadbiran politik yang lebih stabil daripada apa yang kita ada,” katanya.

Beliau ditemui pemberita ketika mengadakan sesi walkabout di sekitar Simpang Renggam hari ini bertemu dengan masyarakat Cina di sini.

Jalaluddin berkata rakyat negeri Johor meletakkan satu harapan yang tinggi kepada parti teras iaitu BN.

“Mereka sudah kembali yakin kepada BN apatah lagi di kalangan mereka menyuarakan bahawa calon-calon yang dikemukakkan oleh BN mempunyai kewibawaan, pengalaman dan penampilan yang meyakinkan untuk meneruskan pembelaan dan pentadbiran bagi semua kaum,” katanya.

Beliau amat berharap supaya keyakinan mereka ini berterusan dan ia dapat diterjemahkan di atas kertas undi pada hari mengundi untuk PRN Johor.

Sejak kempen bermula pada 26 Februari yang lepas, BN dilihat mendapat sambutan yang menggalakkan daripada rakyat negeri Johor dan pengundi Cina dilihat memberikan sambutan hangat kepada pemimpin BN yang hadir dan juga kepada calon yang bertanding.

Para penganalisis melihat, akan ada kejutan yang akan berlaku pada hari mengundi esok dan keputuan PRN Johor untuk tahun ini akan pasti ada perubahan daripada keputusan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang lepas.

Leave a Reply