Tidak lagi dalam PH, namun bekas MB yakin dapat kekal penyokong bukan Melayu

Hebahkan !!!

PAGOH: Bekas Menteri Besar Johor, Dr Sahruddin Jamal, yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong atas tiket Pakatan Harapan (PH) pada 2018, yakin dengan keupayaannya untuk mengekalkan sokongan pengundi bukan Melayu walaupun beliau telah melompat ke Perikatan Nasional (PN).

Bercakap kepada FMT, beliau berkata, pengundi Cina dan India di kawasan itu sangat mengenalinya kerana beliau mengendalikan tiga klinik kesihatan di situ.

“Masyarakat India dan Cina mengenali saya sebelum pilihan raya umum-14 (PRU14) lagi,” katanya.

“Saya telah berkhidmat kepada mereka melalui klinik saya sejak 2011.”

Masyarakat bukan Melayu membentuk 30% daripada pengundi di Bukit Kepong pada 2018.

Sahruddin berkata, sudah menjadi kebiasaannya tidak mengira kaum kaum apabila menjemput orang ke acara yang dianjurkannya.

“Saya jemput semua kaum untuk menghadiri program saya,” katanya.

“Syukur, apabila saya pergi ke Grisek, Pagoh dan Bukit Kepong – semua pekan-pekan kaum Cina ini – mereka kenal saya. Insya-Allah, mereka akan undi saya.”

Katanya, beliau cukup yakin penduduk Bukit Kepong mengenalinya sebagai seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang bekerja keras dan sentiasa turun padang.

Daripada tiga calon, dipercayai pesaing terbesarnya adalah Ismail Mohamed daripada Barisan Nasional (BN), ADUN kawasan itu ketika ia dikenali sebagai Bukit Serampang.

Sahruddin mengakui Umno mempunyai asas penyokong tegar, namun katanya, beliau yakin prestasinya sebagai ADUN, ditambah pula dengan tempoh Pengerusi PN Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri akan memenangi hati pengundi.

Beliau berkata, pengundi dapat melihat prestasi Muhyiddin sebagai Perdana Menteri yang lebih baik berbanding pendahulunya.

Tambahnya, faktor Muhyiddin akan meningkatkan sokongan kaum Cina dan India kepadanya kerana mereka peka mengenai perkembangan yang dibawa oleh Presiden Bersatu itu ke kampung halamannya di Pagoh.

Leave a Reply