Tarik balik dakwaan atau hadapi saman, Guan Eng beri amaran

Hebahkan !!!

PETALING JAYA: Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengancam untuk menyaman Naib Presiden MCA Tan Teik Cheng dan sebuah akhbar harian tempatan berhubung laporan yang dikatakan mengandungi dakwaan palsu terhadapnya.

Menurut Lim, Tan berkata dalam laporan The Star bahawa Lim “tidak berani menafikan” dakwaan bahawa beliau telah meminta SJK(C) Kuek Ho Yao menukar namanya sebagai syarat untuk mendapat peruntukan RM4 juta semasa menjadi Menteri Kewangan.

“Ini adalah palsu dan tidak benar,” kata Lim dalam kenyataan hari ini, dengan memberi Tan dan The Star tempoh 24 jam untuk menarik balik laporan itu serta memohon maaf.

Sementara itu, Lim turut membidas Presiden MCA Wee Ka Siong kerana mencabarnya untuk berdebat mengenai pendidikan aliran Cina dan SJK(C) Kuek Ho Yao, bukan dengan Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching.

Beliau berkata, Wee pada 25 Feb mencabar Teo yang juga bekas Timbalan Menteri Pendidikan.

“Teo segera menerima cabaran itu pada 6 Mac, tetapi Wee kemudian sebaliknya meminta untuk berdebat dengan saya.

“Wee tidak jujur dan tidak bertanggungjawab. Sekalipun beliau ingin berdebat dengan saya, beliau patut berdebat dengan Teo terlebih dahulu,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, debat itu tidak diteruskan susulan campur tangan oleh polis.

Leave a Reply