Jentera Yang Lebih Baik Di Johor Akan Jadi Gelombang Bawa Kemenangan Barisan Nasional

Hebahkan !!!

ISKANDAR PUTERI – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melihat jentera pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini adalah lebih baik dari PRN Melaka baru-baru ini dan ia perlu jadi sebab gelombang perubahan untuk BN menang dan membentu kerajaan di negeri harimau selatan itu.

Bercakap di depan jentera BN di Iskandar Puteri hari ini, beliau mengambil contoh kekuatan jentera DUN di dalam kawasan Parlimen berkenaan iaitu DUN Skudai dan DUN Kota Iskandar yang nampak begitu agresif sehingga BN boleh merampas kerusi berkenaan dari Pakatan Harapan (PH) pada hari mengundi 12 Mac nanti.

“Melaka mempunyai jentera baik tetapi Johor lebih baik.

“Kalau yang baik seperti Melaka pun kita terlebih laris, kita target 19 untuk dapat majoriti dua pertiga tetapi Alhamdulillah kita dapat 21 tiga perempat, takkanlah jentera yang baik tak boleh memenangkan Kota Iskandar dan Skudai,” katanya.

Walaupun kawasan berkenaan dikategorikan sebagai kawasan kelabu kerana penyandangnya ialah PH pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang lepas, Ahmad Zahid berkata analisis yang dibuatnya menunjukkan kekalahan pada PRU14 kerana pengundi disogokkan dengan fitnah dan tohmahan yang dilemparkan ke atas pemimpin utama BN.

“Saya mempunyai kaedah saya sendiri, bukan laporan di atas kertas laporan daripada gelombang yang wujud di Kota Iskandar dan Skudai ini berbeza.

“Kita lihat dalam PRU ke-14, gelombang kebencian ditanam, fitnah disimbah dan dibaling kepada center of gravity kita, di sini situasi telah berbeza, terdapat rasa kekesalan di kalangan pengundi-pengundi yang lalu, termasuk pengundi putih iaitu pengundi tegar kita (BN),” katanya.

Calon BN di DUN N48 Skudai ialah dari MCA Lim Soon Hai berdepan dengan calon PH dari DAP Marina Ibrahim dan dari Perikatan Nasional (PN) Khoo Kong Ek.

Manakala calon BN di DUN N49 Kota Iskandar ialah dari UMNO, Pandak Ahmad berdepan calon PH dari Amanah Dzulkefly Ahmad, calon PN Samsudin Ismail, calon Pejuang Dr Zaini Abu Bakar dan calon PSM R Arangkannal.

Pada PRU14 kerusi DUN N48 Skudai dimenangi oleh calon PH Tan Hong Pin dari DAP dengan majoriti 35,126 undi manakala kerusi DUN N49 Kota Iskandar pula dimenangi oleh Dzulkefly Ahmad dengan majoriti 14,543 undi.

Leave a Reply