SOP Pelitup Muka Semasa Berceramah Dilonggarkan – KJ

Hebahkan !!!

Oleh: Kamarulzaman bin Pid

KOTA TINGGI – Penceramah sepanjang kempen Pilihanraya Negeri (PRN) Johor kali ini, dibenarkan membuka pelitup muka semasa berceramah.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, beliau mengarahkan pegawainya untuk memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa kementerian itu tiada halangan jika SPR mahu mengubah sedikit Prosedur Operasi Standard (SOP) berkenaan.

“Bagi orang yang sedang berucap sekiranya tidak ada orang di sekelilingnya yang rapat dan jarak yang sesuai, dia boleh bukak pelitup muka.

“Ini ada SOP yang sering kita guna di tempat lain, acara-acara rasmi.

“Tapi audiens kena kekal pelitup muka,” katanya di sini, hari ini.

Beliau ditemui semasa mengadakan jelajah kempen di Kampung Lukut, Tenggara, di sini, bersama calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Panti,. Hahasrin Hashim.

Beliau diminta mengulas mengenai rungutan Presiden Parti Keadilan Rakyat’ (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang ditegur pegawai Kementerian Kesihatan ketika berceramah di Larkin, semalam.

Khairy berkata, beliau memahami masalah yang dihadapi ketika berceramah menggunakan pelitup muka.

“Saya pun pahamlah sebagai orang politik. Kadang-kadang susah nak ceramah.

“Yang itu kita akan perbaiki,” katanya.

Mengenai pematuhan SOP sepanjang pilihanraya itu, beliau berkata, setakat ini pihaknya secara keseluruhan berpuas hati.

“Secara keseluruhan, oklah, tak adalah yang teruk sangat.

“Yang kena kompaun setakat ini semua parti,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga memantau setiap hantaran yang dibuat di media sosial mengenai pelanggaran SOP pada pilihanraya ini.

“Jangan ingat kita tak bertindak atas ‘post’ yang dibuat di media sosial.

“Kalau kita dapati ‘post’ itu sahih, maka kita akan siasat dan keluarkan kompaun,” katanya.

Mengenai peluang BN memenangi PRN Johor kali ini, Khairy berkata, beliau mendapati pengundi di Johor mahukan sebuah kerajaan yang stabil.

“Itu saja. Mereka tak mahu banyak sangat politik.

“Dalam keadaan tersebut, mereka memang fikir pasal BN,” katanya.

Leave a Reply