PH ‘retak’ kerana Dr M enggan sokong Anwar, kata penganalisis

Hebahkan !!!

PETALING JAYA: Keengganan bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, menyokong Presiden PKR Anwar Ibrahim menjadi punca utama Pakatan Harapan (PH) ‘retak’, kata seorang penganalisis politik.

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, keengganan Mahathir menyokong Anwar dan menyerahkan kuasa seperti dipersetujui pada dasarnya memecah-belahkan gabungan itu, sesuatu yang masih belum dapat diatasinya.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir bahawa Anwar, yang juga Pengerusi PH, tidak cukup berusaha menyatukan parti pembangkang.

Oh berkata, walaupun beliau tidak rasa Mukhriz tersilap dalam penilaiannya, Mukhriz dan bapanya juga harus dipersalahkan atas kepincangan mereka sebagai pemimpin PH ketika kerajaan memerintah.

“Jika mereka beri sokongan kepada Anwar, Langkah Sheraton, yang akhirnya mencetuskan kejatuhan PH, tidak akan berlaku.

“Landskap politik kita kini berantakan terutama disebabkan dua beranak ini enggan menyokong Anwar,” katanya.

Menurut Oh, jelas sekali Mahathir mengekalkan pendirian yang sama sejak 1998 tidak mahu Anwar menjadi Perdana Menteri.

“Ini masih jelas walaupun kerjasama antara mereka yang saling menguntungkan membawa kemenangan bagi PH pada pilihan raya umum 2018 (PRU14),” katanya.

Bagaimanapun, katanya, Anwar juga mungkin sudah melewati zaman kegemilangannya dan tidak lagi dapat memperoleh sokongan sama seperti dahulu.

“Satu penyelesaian yang jelas, walaupun sukar, adalah PH mempertimbangkan untuk menggantikan Anwar,” kata Oh.

“Namun, tiada orang lain dalam PH pada masa ini yang boleh membawa gabungan itu kembali ke puncak.”

Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara bagi Penyelidikan Strategik percaya PH memerlukan “tujuan” yang boleh mencetuskan suasana seperti sebelum PRU14.

“Masalahnya adalah pembangkang tidak mempunyai sebarang isu untuk diperjuangkan ketika ini, terutama yang menyasarkan Barisan Nasional (BN).”

Beliau berkata, skandal 1MDB dan kes rasuah menyatukan parti pembangkang bawah payung PH sebelum PRU14. Bagaimanapun, isu itu tidak lagi relevan dalam kalangan rakyat.

Azmi berkata, PH memerlukan tujuan atau isu bersama yang boleh menyatukan parti komponen.

Leave a Reply