Nelayan Orang Asli Berharap Disalur Bantuan Kemudahan Ke Laut

Hebahkan !!!

Oleh: Maria Das

PASIR GUDANG – ‘Demi sesuap nasi kami ke laut hampir empat jam sehari namun pergerakan kami agak terbatas terutama apabila bot bermasalah,” kata Orang Asli Kampung Pasir Putih, Sayang Li, 57.

Sayang berkata, dia mengakui sumber pendapatan keluarganya bergantung kepada hasil penangkapan ikan atau mencari pelbagai hasil laut seperti kupang.

Menurutnya, sekiranya tidak dapat menjalankan kegiatan itu, keluarga nelayan di perkampungan itu bukan saja terputus sumber kewangan malah ia juga menimbulkan pelbagai permasalahan.

“Setiap kali ke laut kami berdepan dengan pelbagai risiko terutama apabila cuaca buruk namun demi mengisi perut ahli keluarga kami sanggup meredah situasi berkenaan.

“Sekiranya kami dibekalkan peralatan dan kemudahan lebih selesa, mungkin nyawa kami lebih selamat dan ia memudahkan kami.

“Kami berharap permasalahan kumpulan nelayan di perkampungan ini diberi perhatian secepat mungkin bagi membolehkan kami meneruskan aktiviti penangkapan ikan tanpa sebarang masalah,” katanya.

Sementara itu, Norli Lee, 45, rata-rata nelayan di situ hanya menggunakan kemudahan bot yang sedia ada.

Menurutnya, penduduk tidak mampu untuk membeli kemudahan baru yang memakan kos ribuan ringgit.

“Kami bukan orang senang, kebanyakan kami hanya mencari rezeki di laut sama ada perempuan atau lelaki.

“Impian kami adalah bagi memiliki bot baru dan ia hanya menjadi kenyataan sekiranya dibantu agensi kerajaan,” katanya.

Norli berkata, masyarakat di perkampungan itu juga berharap bekalan elektrik dan air dapat dibekalkan secara menyeluruh ke rumah penduduk.

“Kami berharap kemudahan yang sedia ada ditambah baik selain generasi muda di perkampungan berkenaan didedahkan kepada peluang mempelajari kemahiran bagi membolehkan mereka menaik taraf kehidupan keluarga pada masa depan,” katanya.

Pada masa kini, kira-kira 150 penduduk tinggal di perkampungan berkenaan.

Manakala hampir keseluruhan penduduk Kampung Orang Asli Pasir Putih bergantung kepada hasil penangkapan ikan dan merupakan nelayan tradisi.

 

 

Leave a Reply