“Saya Hanya Tidur Dua Hingga Tiga Jam Sehari” – Calon DUN Puteri Wangsa

Hebahkan !!!

Oleh: Maria Das

JOHOR BAHRU – “Saya bertemu dengan seramai mungkin pengundi sebelum 12 Mac depan kerana tidak mahu mereka tersilap pilih calon kerana keputusan berkenaan akan menjejaskan pembangunan Johor dan masyarakat,” kata calon Barisan Nasional (BN), Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Ng Yew Aik.

Yew Aik berkata, dia juga tidak mahu menghampakan harapan pucuk kepimpinan MCA memandangkan dia adalah calon terakhir yang diumumkan
Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong yang bertanding kerusi berkenaan.

Menurutnya, dia yakin kebolehannya bagi menyelesaikan permasalahan penduduk, mudah mesra serta daya kepimpinan menjadi asas pemilihannya sebagai calon.

Katanya, malah dia gemar bagi menyantuni masyarakat setempat dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan sejak lebih lapan tahun lalu.

“Mungkin berkat membantu orang ramai saya berpeluang bertanding di PRN dan walaupun persaingan di DUN Puteri Wangsa adalah sengit, namun saya tidak gentar.

“Sememangnya saya suka cabaran dan fokus saya adalah untuk menjayakan kempen ini dan mendapatkan sokongan pengundi.

“Kini lebih ramai memberi sambutan terhadap Barisan Nasional (BN) dan saya yakin mereka tidak mahu mengambil risiko dengan kembali mengundi parti lain,” katanya.

Yew Aik berkata, dia tidak mahu berjanji kosong kepada pengundi di kawasan berkenaan sebaliknya akan membuktikan kebolehannya bagi memperbaiki keadaan menerusi pelaksanaan beberapa perkara.

Menurutnya, ia termasuk isu banjir di Kampung Oren dan beberapa lokasi sekitar selain isu golongan muda termasuk pengangguran dan perumahan.

“Kelebihan yang ada pada saya adalah suka berkhidmat tanpa mengira masa, selama ini saya juga melaksanakan pelbagai aktiviti kesukarelaan demi kesejahteraan penduduk terutama golongan B40.

“Saya berharap pengundi di kawasan Puteri Wangsa dapat menyumbang undi mereka bagi BN demi masa depan masyarakat dan negara,” katanya ketika ditemui ketika melakukan walkabout di sebuah pasar raya di Taman Daya, semalam.

Leave a Reply