Maszlee Malik Nafi Lompat Parti Sebaliknya Dikhianati Bersatu

Hebahkan !!!

KLUANG – Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi DUN Layang-Layang, Dr Maszlee Malik, 48, menafikan dakwaan dirinya melompat parti sebaliknya mendakwa Bersatu telah mengkhianatinya dengan ‘membuang’ beliau kerana tidak bersetuju parti itu meninggalkan Pakatan Harapan dan membentuk gabungan politik baharu iaitu Perikatan Nasional (PN).

“Saya dibuang daripada parti kerana tidak mahu menyertai pengkhianatan parti meninggalkan Pakatan Harapan yang telah mendapat mandat rakyat (yang kemudian) mereka membentuk kerajaan pintu belakang.

“Itu tak sama… itu bukan lompat, saya telah dibuang daripada parti.

“Saya kemudian jadi ahli parlimen bebas selama hampir dua tahun, kemudian saya telah ambil keputusan untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat yang merupakan komponen Pakatan Harapan.

“Sepanjang saya menjadi ahli parlimen bebas saya tetap menjadi sebahagian daripada pakatan harapan di Parlimen juga di Simpang Renggam.

“Jadi saya kira itu adalah perkara yang berbeza… lompat itu adalah mereka yang menyertai parti lain kerana disogok menjadi menteri, disogokkan dengan sogokkan-sogokkan tertentu untuk mereka mengkhianati undi yang rakyat telah berikan,” katanya kepadap pihak media selepas memberikan ceramah di Bilik Gerakan PKR bagi DUN Layang-Layang di Kluang, Johor, semalam.

Turut hadir sama pada majlis itu ialah Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Maszlee yang juga merupakan bekas Menteri Pendidikan itu turut menafikan cakap-cakap politik yang mengatakan kononnya beliau merupakan calon Menteri Besar jika PKR dan PH diberi mandat pada PRN Johor kali ini.

“Jauh sangat bayangan itu, Datuk Seri Anwar tidak menyentuh mengenai Menteri Besar.

“Beliau hanya meminta undi saya dan memberi sokongan kepada PKR dan PH untuk membawa Johor ke tahap lebih baik,” ujarnya.

Bagi kerusi Dun Layang-Layang, Maszlee bakal dicabar tiga calon lain iaitu Abdul Mutalib Abd Rahim dari Barisan Nasional (BN), K. Alagathiran (Perikatan Nasional) dan Ahmad Shafiq Othaman yang mewakili parti Pejuang.

Leave a Reply